Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

133) AIR PERCUMA

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Marsum Bin Paing

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Banyak bangunan flat, apartmen dan lain-lain bangunan kediaman bertingkat tidak dapat bekalan air percuma dari kerajaan negeri dan kejadian pemotongan bekalan air Apartmen Kenanga, Putra Perdana baru-baru ini telah menyebabkan kesulitan kepada penduduk. Bilakah kerajaan negeri akan memberi air percuma kepada mereka yang mendiami kediaman bertingkat sepatutnya diutamakan kerana ramai di kalangan mereka berpendapatan sederhana?

    Pelaksanaan pemberian rebet air percuma telah dilaksanakan secara berperingkat bagi sejumlah 234 pangsapuri kos rendah yang disenaraikan seperti berikut:

    • Fasa Pertama bermula pada bulan Jun tahun 2010 di Pangsapuri Sri Tanjung sebagai projek perintis selama tiga bulan;
    • Fasa Kedua bermula bulan Oktober 2010 melibatkan 85 kawasan pemajuan; dan
    • Fasa Ketiga dan seterusnya bermula bulan Mac 2011 melibatkan 148 kawasan pemajuan.

    Daripada keseluruhan jumlah 234 kawasan yang telah disenaraikan, sebanyak 137 kawasan telah membuat tuntutan rebet air percuma.

    Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa telah membuat penambahbaikan kepada mekanisme pemberian air percuma dengan memansuhkan sistem kupon dan digantikan dengan laporan inventori tuntutan penduduk yang kemudiannya diringkaskan kepada laporan inventori bilangan unit diduduki dan tidak diduduki bagi setiap kawasan pemajuan terlibat sebagai rekod.  Mekanisme yang telah ditambahbaikkan ini dijangka dapat meningkatkan prestasi kawasan pangsapuri kos rendah untuk membuat tuntutan sehingga tahap 100% dan dipanjangkan kepada pangsapuri bukan kos rendah.  Namun begitu, Kerajaan Negeri memutuskan supaya semua pangsapuri yang menggunakan meter air pukal melaksanakan migrasi meter air individu bagi memastikan pengagihan rebet air percuma dapat dibuat secara automatik.

Lampiran

Tiada Lampiran.