Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

163) AIR PERCUMA SETIAP BULAN (IPR1)

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah meter padu dan kos pemberian air percuma dari 2014-2016

    Program pemberian bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama dengan nilai sebanyak RM11.40 setiap bulan kepada pengguna domestik yang bermeter individu telah dilaksanakan bermula 1 Jun 2008. Program adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor.

     

    Walaupun pada peringkat awal, program ini memberi penumpuan kepada golongan berpendapatan rendah, namun Kerajaan Negeri kemudiannya telah mengambil keputusan untuk memperluaskan pemberian kemudahan ini kepada semua penduduk Negeri Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat dan pendapatan selagi mereka merupakan pengguna domestik yang menggunakan meter individu.

     

    Bagi penghuni rumah pangsa yang menggunakan meter pukal di bawah nama Syarikat Pengurusan, Perbadanan Pengurusan (MC), persatuan penduduk atau pihak-pihak lain pada awalnya perlu melaksanakan proses migrasi bagi mendapatkan bil air secara terus dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor, SYABAS sebelum ini).  Namun demikian, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program “LAPOR DAN DAPAT” (dahulunya dikenali sebagai SISTEM KUPON ) mulai Jun 2010 bagi membolehkan penghuni rumah pangsa yang belum mempunyai meter individu dapat menikmati pemberian kemudahan air percuma ini.

    Semenjak dilaksanakan pada Jun 2008 sehingga 31 Disember 2016, program ini telah menelan belanja yang dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion. Jumlah yang dibelanjakan untuk membiayai program air percuma ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.  Sehubungan dengan itu Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan sememangnya sedar bahawa kos yang perlu dibelanjakan bagi membiayai program air percuma ini amatlah tinggi, namun demi usaha untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, Kerajaan akan memastikan agenda peduli seperti ini akan terus dijunjung.

    Bagi tahun 2014 hingga 2016, dari segi jumlah meter padu air percuma telah dibekalkan kepada pengguna domestik di Selangor adalah sebanyak 749.7 juta meter padu air dengan kos terkumpul berjumlah RM493.98 juta.

    Buat masa ini Kerajaan Negeri belum mempunyai sebarang perancangan untuk menambah pemberian air percuma kepada pengguna domestik di Negeri Selangor.  Matlamat Kerajaan Negeri pada ketika ini adalah untuk memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air yang terurus dan holistik berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, efisien dan kos efektif.

Lampiran

Tiada Lampiran.