Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

223) AIR SELANGOR SDN BHD

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Air Selangor akan mengambil alih operasi Syabas?

     

    a), b) dan c)

     

    Sebelum perancangan yang teratur dan komprehensif boleh dilakukan, Air Selangor perlu melakukan penilaian dan analisis ke atas operasi sistem bekalan air sedia ada. Ini hanya boleh dilakukan setelah Air Selangor mengambil alih operasi dan pengurusan bekalan air sepenuhnya dari syarikat- syarikat pemegang konsesi air sedia ada.

     

    Namun begitu, jika dilihat daripada segi pembekalan air terawat, pada ketika ini di Negeri Selangor terdapat 34 buah Loji Rawatan Air (LRA) yang beroperasi 24 jam sehari, terdiri dari 15 buah LRA utama dan 19 buah LRA kecil. Daripada segi reka bentuk loji sedia ada, 34 buah loji berupaya untuk menghasilkan 4,605 juta liter sehari (JLH) air terawat dan berupaya dioptimumkan pengeluarannya ke tahap maksimum 5,252 JLH. Jumlah pengeluaran semasa kesemua LRA tersebut yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah sebanyak 4,625 JLH.

     

    Walaupun 34 buah Loji Rawatan Air berupaya dioptimumkan pengeluarannya ke tahap maksimum hingga mencapai 5,252 JLH, kapasiti yang boleh diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna adalah 4,686 JLH sahaja. Kekangan utama di dalam mengagihkan air terawat kepada pengguna adalah disebabkan ketidakcukupan sistem agihan air di bawah kendalian SYABAS. Justeru itu, Projek Mitigasi-2 sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menambah baik sistem agihan air sedia ada dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti pengagihan pengeluaran air kepada pengguna. Projek Mitigasi-2 ini disasarkan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2015 dan dengan setelah siap dan beroperasi, Projek Mitigasi-2 akan meningkatkan keupayaan agihan air ke kawasan Klang, Subang dan Petaling.

     

    Di samping itu Kerajaan Negeri juga telah membuat persediaan tambahan untuk mengukuhkan bekalan air mentah dengan penyiapan HORAS bagi

     

    menghadapi sebarang kemungkinan kemarau sekiranya ia berlaku pada tahun 2016. Seperti dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri tidak menjangkakan sebarang catuan akan berlaku pada tahun 2015 di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

     

    Selain daripada HORAS, Kerajaan Negeri juga merancang untuk melaksanakan pemindahan air mentah dari Sungai Bernam. Setelah siapnya kerja-kerja pemindahan air mentah Sungai Bernam dan HORAS, sumber air mentah di Sungai Selangor akan bertambah.

     

    Bagi memenuhi permintaan selepas 2017, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk meluluskan perlaksanaan Projek Langat 2 oleh Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap pada tahun 2018. Jurang permintaan yang dijangka berlaku antara 2017 dan 2018 akan dipenuhi melalui perlaksanaan projek menaiktarafkan Loji Rawatan Air Sungai Langat (100 JLH) yang akan bermula sebelum akhir 2015. Projek ini dijangka akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Bekalan air daripada loji ini adalah untuk memenuhi kekurangan pengeluaran bekalan air, sekiranya Projek Langat 2 menghadapi kelewatan untuk beroperasi.

     

    Untuk melihat perbezaan antara pengurusan PASSB (atau “Air Selangor”) berbanding dengan syarikat-syarikat pemegang konsesi air sedia ada, kita perlu memahami kronologi penswastaan air di Negeri Selangor.

     

    Penswastaan perkhidmatan air di negeri ini telah bermula semenjak 1994 dan selesai secara sepenuhnya pada tahun 2004. Ia melibatkan empat (4) buah syarikat pemegang konsesi air utama seperti berikut:-

     

     

    Rawatan Agihan
    Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB)  

     

    Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)

    Syarikat      Pengeluar      Air                     Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH)
    Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS)

     

    Susulan daripada penswastaan ini, industri perkhidmatan air di Negeri Selangor tidak beroperasi secara holistik di mana aktiviti rawatan dan pengagihan bekalan air dikendalikan oleh syarikat pemegang konsesi air yang berasingan. Keadaan yang tidak holistik ini telah menyumbang kepada pengurusan perkhidmatan air yang tidak efisien dan kos operasi tinggi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif.

     

    Air Selangor akan mengambil alih operasi rawatan dan pengagihan bekalan air daripada syarikat-syarikat pemegang konsesi air sedia ada dan menguruskan secara holistik. Pengurusan Air Selangor, di bawah Kerajaan Negeri, akan dikawal dan diawasi oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan penyediaan

     

    perkhidmatan air yang lebih efisien dan efektif kepada pengguna di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

     

    Tambahan pula, dengan adanya pengawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), prestasi Air Selangor akan sentiasa dipantau dengan lebih sistematik dan berkesan, terutamanya daripada aspek kualiti perkhidmatan, ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan hak pengguna. Sistem komprehensif ini akan mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana faedahnya akan dapat di rasai oleh semua rakyat Selangor dan pengguna.

     

    Kewujudan Air Selangor melalui penstrukturan semula perkhidmatan industri air akan menjurus kepada penamatan perjanjian dengan semua syarikat pemegang konsesi air sedia ada. Dengan penamatan perjanjian konsesi air sedia ada, pengguna tidak lagi dibebankan dengan peningkatan tarif yang terlampau tinggi, sebaliknya mekanisme penetapan tarif air akan tertakluk kepada kelulusan SPAN. Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan kenaikan kadar tarif yang munasabah yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan operator air dengan kadar yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi Air dengan SYABAS, iaitu peningkatan sebanyak kira-kira 105% dari tahun 2008 sehingga 2015.

     

    Di bawah struktur baharu ini juga, perbelanjaan modal (CAPEX) akan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”). Ini berbeza dengan sistem yang terdahulu di mana CAPEX adalah ditanggung oleh syarikat pemegang konsesi air. Selain daripada mendapat penjimatan kos operasi, Air Selangor akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan, kecekapan dan mutu perkhidmatan. Ini akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam operasi perkhidmatan air keseluruhannya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.