Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

86) AIR TERJUN DI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan destinasi-destinasi air terjun yang menarik pelancong dan keunikannya di Selangor.

    Senarai destinasi-destinasi air terjun yang menarik pelancong dan keunikannya di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    Taman Rimba Ampang

    Kaya dengan khazanah flora dan fauna, taman rimba yang juga sebahagian daripada Hutan Simpan Ampang telah dinaik taraf sebagai pusat rekreasi. Air bukit yang jernih lagi segar, dilengkapi pula dengan kemudahan taman permainan dan kawasan rehat berserta laluan pejalan kaki, pondok istirahat, kawasan permainan darat dan air. Penaikan taraf taman rimba ini memberi nafas baru dan menjadikan Ampang sebagai salah satu destinasi pelancongan utama.

    Hutan Rekreasi Sungai Congkak

    Kawasan rekreasi ini terletak di Hulu Langat. Para pengunjung dapat merasai kehidupan kampung dan alam semula jadi yang memberikan ketenangan. Jaraknya yang dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur memudahkan pengunjung ke Hulu Langat dengan kos yang agak murah.  Semasa musim buah-buahan, para pengunjung dapat melihat menikmati pelbagai buah-buahan tempatan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan rambutan yang dijual di sepanjang jalan.

    Air Terjun Sungai Tekala

    Hanya 45 minit perjalanan dari Kuala Lumpur, kedudukannya sangat strategik di pinggir jalan raya ke Hulu Langat dan ke Kuala Kelawang, Negeri Sembilan. Kemudahan yang disediakan adalah seperti gerai, surau, bilik persalinan dan tempat berteduh menjadikan lokasi ini sangat ideal untuk aktiviti mandi-manda dan lokasi perkelahan bersama keluarga mahupun bersama rakan-rakan.

    Air Terjun Sungai Pangsun

    Air Terjun Sungai Pangsun terletak di Batu 22, Hulu Langat. Air terjun ini menjadi salah satu lokasi tarikan peminat aktiviti rekreasi dan pencinta alam khususnya penggemar aktiviti merentas dan menjelajah hutan. Terdapat pemandangan indah yang boleh dilihat daripada puncak bukit seperti pemandangan menghijau di sekitar Empangan Pangsun dan kawasan yang berhampirannya. Terdapat sebuah kolam semula jadi yang terbentuk dan sesuai untuk melakukan aktiviti lasak seperti terjun dari aras yang tinggi. Pemandangan di sekitar air terjun ini juga sangat mempesonakan.

    Air Terjun Sungai Gabai

    Air terjun Sungai Gabai terletak di Kampung Sungai Lui, Mukim Hulu Langat. Mempunyai 12 tingkat dengan 336 anak tangga hingga ke tingkat paling atas. Terdapat banyak pondok rehat yang dibina oleh Majlis Daerah Hulu Langat. Kemudahan seperti surau, bilik persalinan dan tandas juga disediakan. Selain itu, terdapat juga sebuah perkampungan orang Asli yang dikenali sebagai Rancangan Penempatan Semula Orang Asli Sungai Gabai. Terdapat kira-kira 12 buah rumah Orang Asli suku Temuan di sini. Rumah-rumah mereka diperbuat daripada kayu menyerupai rumah peneroka FELDA. Rumah-rumah ini dibina dengan bantuan kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

    Air Terjun Templer Park

    Berada di sebuah lembah kecil di utara sempadan bandar Kuala Lumpur dan terletak bersebelahan dengan jalan raya yang sibuk menghala ke Ipoh menyebabkan lokasi ini mudah diakses dan menjadi tumpuan ramai. Terdapat banyak kawasan perkelahan di sepanjang dua batang sungai di Templer Park ini. Dari kawasan tempat letak kereta, terdapat jalan yang membawa ke kawasan kolam yang dijaga baik dan di situlah bermulanya trek ke kawasan air terjun.

    Air Terjun Batu Asah

    Lokasinya berhampiran dengan Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Perjalanan daripada Pusat Bandar Kuala Lumpur mengambil masa selama 20 minit dan jarak perjalanan adalah sejauh 15 km sahaja. Pengunjung akan melalui Zoo Negara sebelum sampai ke Kg. Kemensah dan seterusnya perjalanan mengambil masa selama 10 minit untuk sampai ke destinasi tersebut. Air Terjun Batu Asah terletak di dalam Hutan Simpan Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Nama Air Terjun Batu Asah ini telah diberikan oleh orang asli yang mencari hasil hutan untuk kegunaan masyarakat beliau.

    Hutan Rekreasi Sungai Tua

    Berhampiran Empangan Batu, Hutan Rekreasi Sg. Tua merupakan hutan simpan dan rekreasi yang mempunyai air terjun yang menarik. Terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak yang merupakan Hutan Dipterokarp Pamah yang terkandung pelbagai flora, fauna dan herba untuk pelbagai kegunaan perubatan dan penawar. Di sini juga terdapat kawasan-kawasan perkelahan di bawah penyeliaan Jabatan Hutan Daerah. Perkampungan Orang Asli Ulu Batu juga berdekatan dengan kawasan ini.

    Hutan Rekreasi Bukit Lagong

    Terletak di Selayang, Hutan Rekreasi Bukit Lagong merupakan kawasan yang masih mengekalkan kawasan hijau dan berpotensi menjadi kawasan pelancongan yang berasaskan ekopelancongan yang menarik. Pembangunan pelbagai kemudahan rekreasi dan pelancongan secara tidak langsung membantu menambahkan satu lagi sektor ekonomi Selayang. Di Bukit Lagong pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak MPS seperti wakaf, gerai, tandas, dua (2) buah jambatan dan juga bilik persalinan.

    Hutan Rekreasi Kanching

    Terletak kira-kira 3 km dari Taman Rimba Templer, ia dilengkapi dengan laluan pejalan kaki di sepanjang air terjun. Seperti Taman Rimba Templer, ia masih diliputi hutan tropika yang hijau. Di beberapa tempat terdapat kedudukan yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan berkelah. Antara kemudahan yang disediakan ialah tandas awam, tempat persalinan, gerai untuk menjaja dan kawasan letak kereta.

    Air Terjun Sungai Pisang

    Air Terjun Sungai Pisang terletak di daerah Gombak. Dikelaskan sebagai air terjun dengan laluan trekking yang sederhana, kawasan air terjun ini turut mempunyai sebuah kawasan perkhemahan berhampiran yang terletak berhadapan dengannya. Sememangnya air terjun Sungai Pisang ini sangat menarik dan tidak lagi tercemar, terhasil dari lencongan arah sungai pada kira-kira 45 darjah, menjadikan kawasan air terjun ini betul-betul terletak di hujung laluan.

    Hutan Rekreasi Sungai Kedondong

    Merupakan salah satu lokasi pilihan terbaik bagi mereka yang menggemari aktiviti riadah. Lokasinya terletak di Batang Kali, Hulu Selangor. Destinasi popular ini sudah lama menjadi tumpuan penduduk tempatan dan kawasan sekitarnya, termasuk dari Pahang, untuk bersantai bersama keluarga bukan sahaja pada hujung minggu, tetapi juga cuti umum dan cuti musim perayaan. Tidak sukar untuk ke pusat perkelahan ini biarpun lokasinya terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur. Terletak di laluan utama Jalan Genting Highlands ke Batang Kali menyebabkan destinasi ini cukup mudah untuk dikunjungi sepanjang masa.

    Air Terjun Semangkuk

    Lokasi Air Terjun Semangkuk terletak antara Jalan Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser. Dari arah Kuala Kubu Bharu, ia terletak selepas Empangan Sungai Selangor. Air Terjun Semangkuk merupakan kawasan air terjun yang kecil saiznya berbanding dengan air terjun lain yang berada di sekitar Selangor. Kawasan air terjun ini juga dilengkapi kemudahan-kemudahan seperti bilik persalinan, tandas dan pondok untuk beristirahat sambil menikmati pemandangan air terjun yang cantik.

     

    • Air Terjun Sungai Sendat

    Air Terjun Sungai Sendat mempunyai tiga (3) tingkat. Tingkat pertama, kolamnya agak luas dengan kedalaman yang sesuai untuk mandi-manda. Tingkat kedua, kolamnya cetek dan sesuai untuk bersantai. Kolam di tingkat ketiga pula tidak begitu luas, tetapi kedalamannya sesuai untuk aktiviti berenang dan terjun tiruk. Bagi mereka yang tidak pandai berenang, tidak disarankan untuk berada di kawasan ini. Hutan lipur di sini juga sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Pihak Jabatan Perhutanan negeri turut menyediakan beberapa ruang tapak khas untuk pengunjung berkhemah. Ada juga tapak perkhemahan yang disimen bagi keselesaan pengunjung.

     

    1. Air Terjun Sungai Chilling

    Air Terjun Chiling terletak di rizab yang dinamakan Sungai Chiling Fish Sanctuary, projek penyelidikan perikanan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Air Terjun Sungai Chilling juga dikenali sebagai air terjun tercantik di Selangor. Bayaran dikenakan sebanyak RM1 untuk orang dewasa dan percuma untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun. Pengunjung perlu mendaftar di pondok pendaftaran untuk tujuan keselamatan. Petugas Jabatan Perikanan akan membuat taklimat dan penerang kepada pengunjung mengenai laluan ke air terjun dan keselamatan semasa berada di sini. Kemudahan asas seperti surau, gerai dan tandas awam sediakan. Bagi yang ingin membina khemah, tapak perkhemahan juga disediakan di dataran yang luas.

Lampiran

Tiada Lampiran.