Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

161) “AIR TIDAK BERHASIL” (NRW)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menjalankan kajian untuk mengurangkan 33 peratus kadar ‘Air Tidak Berhasil’ (NRW) yang ada sekarang. Jika tidak, nyatakan sebabnya?

    Kerajaan Negeri Selangor memang sentiasa memantau dan  meneliti  perkembangan program-program penurunan NRW yang dilaksanakan oleh SYABAS. Melalui beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Kerajaan Negeri Selangor maklum akan kegagalan SYABAS dalam menurunkan kadar NRW sebagaimana yang ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.

     

    Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa penyelesaian menyeluruh ke atas masalah NRW ini adalah dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air menggunakan Model Holistik. Melalui penstrukturan semula ini, operator perkhidmatan air yang baru dapat diujudkan di mana operator air tersebut adalah terdiri dari syarikat yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Selangor.

     

    Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, pemantauan dan kawalan secara langsung boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan bahawa SPV yang bakal diwujudkan beroperasi dengan mementingkan kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan. Sebagai sebuah syarikat SPV yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kawalan secara langsung dapat diberikan oleh Kerajaan Negeri. Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mengujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama. Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dapat direalisasikan di bawah struktur baru ini.

     

    Pada masa ini, sebagai persediaan untuk menambah baik operasi perkhidmatan air khususnya dalam mengurangkan NRW, Kerajaan Negeri selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah bersedia dengan perancangan yang akan dilaksanakan sebaik sahaja penstrukturan semula dimuktamadkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.