Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

21) AIR TIDAK TERHASIL (NON REVENUE WATER)

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi masalah air tidak terhasil sementara menunggu penstrukturan semula industri air berjaya dilaksanakan?

    Penyelesaian menyeluruh ke atas ke atas masalah NRW ini hanya boleh dicapai dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif. Dengan terlaksananya penstrukturan semula industri perkhidmatan air, ianya dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

    Perjanjian Utama yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Pengururusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) pada 12 September 2014 adalah merupakan langkah pertama ke arah untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri air Negeri Selangor.

    Melalui penstrukturan semula ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor akan menjadi operator perkhidmatan air yang baru. Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, pemantauan dan kawalan secara langsung boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan bahawa pengoperasian menitikberatkan faktor kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan. Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama.

    Pada masa ini, sebagai persediaan untuk menambah baik operasi perkhidmatan air khususnya dalam mengurangkan NRW, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah bersedia dengan perancangan yang akan dilaksanakan sebaik sahaja penstrukturan semula dimuktamadkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.