Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

54) AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR 2006 (WSIA)

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah akta WSIA digunakan bagi penstrukturan industri air Selangor?

    Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111- Senarai Bersama. Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan

     

    Walaupun Kerajaan Persekutuan melalui YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) mempunyai kuasa statutori yang  diberikan  oleh Akta 655, namun semenjak tahun 2008 hingga ke tahun 2013, Kerajaan Persekutuan sentiasa menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor hendaklah menyelesaikan apa-apa isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial willing buyer willing seller tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan.

     

    Namun demikian, melalui surat bertarikh 09 September 2013 dari YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 28 Ogos 2013 yang telah membuat keputusan antaranya:-

    “urusan pengambilalihan syarikat-sarikat konsesi air perlu diselesaikan sendiri oleh Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat-syarikat konsesi air dalam tempoh 3 bulan. Sekiranya ia masih tidak dapat diselesaikan, Kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mempertimbangkan tindakan atas dasar kepentingan negara mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (Akta 655) bermula 01 Januari 2014.

     

     

    Berdasarkan kepada keputusan Jemaah menteri tersebut, Kerajaan Negeri Selangor akhirnya pada 31 Disember 2013, menyerahkan kepada budi bicara Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air bagi menguatkusakan peruntukan Seskyen 114 di bawah Akta 655 bagi mengambil alih syarikat konsesi air itu.

     

    Berdasarkan kepada pemahaman bahawa industri perkhidmatan air perlu diuruskan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, maka dalam usaha untuk menyelesaikan semua kemelut yang dihadapi dalam industri perkhidmatan air di Negeri Selangor dan bagi mengelakkan keburukan yang lebih besar lagi menimpa industri ini, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Malaysia pada 26 Februari 2014.

     

    Memorandum Persefahaman ini adalah sebagai langkah pertama menuju ke arah kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air setelah hampir enam (6) tahun sebelum ini Kerajaan Persekutuan melepaskan semua urusan tersebut kepada Kerajaan Negeri Selangor.

     

    Melalui kerjasama ini, Kerajaan Persekutuan melalui YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air boleh menguatkuasakan peruntukan di dalam Akta 655 khususnya dalam memuktamadkan penstrukturan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.

     

    Memandangkan pada ketika ini, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, SYABAS dan ABASS telah secara dasarnya bersetuju untuk diambilalih oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka pemakaian Seksyen 114 Akta 655 tidak akan digunakan ke atas Syarikat Konsesi ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.