Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

59) AKTA KEBEBASAN MAKLUMAT KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah orang yang telah memohon untuk mendapatkan maklumat di Akta Kebebasan Maklumat Kerajaan Negeri?

    Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor belum menerima sebarang permohonan bagi mendapatkan akses kepada maklumat menurut Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 memandangkan Enakmen tersebut yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor pada 1 April 2011 dan diwartakan pada 25 Ogos 2011 masih belum berkuat kuasa lagi.

    Pada masa ini Kerajaan Negeri sedang dalam peringkat akhir persediaan bagi melaksanakan dan menguatkuasakan Enakmen ini dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:-

    1. Memuktamadkan serta mewartakan pelantikan Pegawai-Pegawai Maklumat bagi jabatan-jabatan kerajaan negeri serta pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan enam (6) orang ahli tambahan yang menganggotai Badan Maklumat Negeri; dan
    2. Menggubal dua (2) undang-undang subsidiari di bawah Enakmen ini, iaitu Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012         dan        Kaedah-Kaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012.
    1. Kedua-dua undang-undang subsidiari ini merupakan komponen penting dalam pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 memandangkan kedua-duanya merupakan pelengkap kepada peruntukan-peruntukan sedia ada di dalam Enakmen. Deraf kedua-dua undang-undang subsidiari ini telah diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 27 Jun 2012 yang lalu.

    Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012 yang dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pihak Berkuasa Negeri sebagaimana seksyen

    20 Enakmen memperuntukkan perkara-perkara berikut:-

    • Perincian prosedur permohonan mendapatkan akses kepada maklumat;
    • Penyediaan format Borang yang standard bagi permohonan mendapatkan akses kepada maklumat dan Borang bagi pemindahan permohonan dari satu jabatan ke jabatan yang lain atas alasan maklumat berkenaan dipegang oleh jabatan berkenaan; dan
    • Penetapan kadar dan jenis fi bagi setiap permohonan mendapatkan akses kepada maklumat yang dikemukakan kepada jabatan

      Manakala Kaedah-Kaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012 pula dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri berdasarkan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 17(17) Enakmen dan memperuntukkan perkara-perkara berikut:-

    • Perincian kaedah pemfailan rayuan oleh pemohon dan prosedurprosedur pengendalian rayuan yang perlu dipatuhi oleh sekretariat Badan Maklumat Negeri;
    • Perincian berhubung tatacara dan prosedur perjalanan prosiding perbicaraan rayuan;
    • Penetapan fi / bayaran yang dikenakan kepada pemohon yang mengemukakan rayuan kepada Badan Maklumat Negeri; dan
    • Penetapan elaun-elauan bagi Pendaftar dan Ahli-Ahli Badan Maklumat Negeri (yang terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tidak lebih daripada enam (6) orang Ahli Tambahan).
    1. Membuat semakan terakhir bagi tujuan penerbitan Standard Operating Procedure (SOP) yang lengkap yang telah disediakan berhubung pelaksanaan Enakmen ini untuk digunapakai oleh semua jabatan / agensi kerajaan negeri’; dan
    2. Melaksanakan kursus pemahaman Enakmen dan undang-undang yang berkaitan kepada semua Pegawai Maklumat

     

Lampiran

Tiada Lampiran.