Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

87) AKTA RAHSIA RASMI – OFFICIAL SECRETS ACT (OSA)

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pihak atau parti yang manakah dalam kerajaan, boleh mengumumkan mana-mana dokumen rasmi sama ada di negeri, kerajaan tempatan atau peringkat 'government linked companies' (GLC) sebagai rahsia atau untuk mengklasifikasikan mereka sebagai sesuai untuk tatapan khalayak; dan adakah pemerintah ini sama bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT)?

    Akta Rahsia Rasmi1972 [Akta 88] memberikan definisi perkataan “rahsia rasmi” sebagai “apa-apa suratan yang dinyatakan di dalam Jadual dan apa-apa maklumat atau bahan yang berhubung dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit” atau “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah seksyen 2B”

    Seksyen 2B Akta 88 memperuntukkan kuasa kepada Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri untuk melantik mana-mana pegawai awam melalui suatu perakuan di bawah tandatangannya untuk mengkelaskan (classify) apa-apa suratan rasmi, maklumat atau bahan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit”, “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan.

    Manakala seksyen 2C Akta 88 pula memperuntukkan kuasa kepada Menteri atau pegawai awam yang dipertanggungjawabkan dengan apa-apa tanggungjawab tentang mana-mana Kementerian, Jabatan atau mana-mana perkhidmatan awam atau Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau ketua pentadbiran yang menjaga hal ehwal pentadbiran sesuatu Negeri untuk, pada bila-bila masa, mengkelaskan semula (declassify) apa-apa suratan yang dinyatakan di dalam Jadual atau apa-apa suratan rasmi, maklumat atau bahan sebagaimana yang telah dikelaskan.  Selepas pengkelasan semula itu, suratan, maklumat dan bahan tersebut adalah terhenti menjadi rahsia rasmi.

    Oleh yang demikian, mengikut Akta 88, bagi peringkat Negeri Selangor hanya Menteri Besar Selangor atau ketua pegawai yang menjaga hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang boleh mengkelaskan semula mana-mana dokumen rahsia sebagai tidak lagi rahsia dan sesuai untuk tatapan khalayak.

    Walau apa pun, bagi memastikan proses pengkelasan semula ini dilakukan dengan alasan yang konsisten, Kerajaan Negeri Selangor melalui Surat Pekeliling SUK Bil. 3 Tahun 2008 telah mengeluarkan satu “Garis Panduan Mengenai Pelepasan Dokumen / Maklumat / Perkara Terperingkat (yang telah dikelaskan sebagai Rahsia Rasmi) untuk Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Selangor”.  Garis panduan ini disediakan dengan merujuk kepada dua (2) sumber iaitu-

    1. Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88]; dan
    2. Arahan Keselamatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.