Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

21) AKTIVITI-AKTIVITI JUDI HARAM

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan tindakan yang telah Kerajaan Negeri Selangor ambil untuk membasmi aktiviti-aktiviti judi haram yang dijalani di kawasan komersial.

    Tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membasmi aktiviti perjudian haram.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang serius terhadap aktiviti-aktiviti dan operasi judi haram di negara ini khususnya di kawasan-kawasan komersial. Oleh yang demikian pihak PDRM sentiasa fokus dan komited membuat pemantuan di kawasan dan premis-premis komersial yang disyaki terbabit dalam kegiatan judi haram ini daripada berleluasa.

    Antara usaha yang dilakukan oleh PDRM adalah membuka bilik gerakan khas perjudian di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan judi haram ini secara langsung. Selain itu PDRM juga sentiasa melakukan pemantuan dan operasi di seluruh kontinjen terutama pusat snooker, pusat hiburan, karaoke dan lain-lain.

    Selain itu, PDRM juga sentiasa mempertingkatkan kerjasama secara bersepadu dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Agama Islam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengekang aktiviti ini dari terus aktif.

    PDRM memberi amaran dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang terlibat seperti didakwa di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Bukan itu sahaja, mereka yang terlibat juga boleh diambil tindakan di bawah Undang-Undang Pencengahan sepanjang tempoh 1 Januari – 31 Julai 2018 sebanyak 1,253 serbuan dibuat ke atas premis perjudian online, sebanyak 690 serbuan dibuat ke atas perjudian loteri awam haram .

    Sesungguhnya, PDRM amat memandang serius kenyataan daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan dan keberkesanan tindakan PDRM dalam membanteras aktiviti judi haram daripada terus berluasa sedangkan PDRM amat komited dalam menangani hal ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.