Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

36) AKTIVITI BUDAYA DAN SENI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah melaksanakan pementasan teater bagi karya-karya sasterawan negara, persembahan simfoni Selangor dan pameran seni halus seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2018 Negeri Selangor? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.

    Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan mengiktiraf aspek kebudayaan sebagai salah satu sendi utama dalam mencapai kemakmuran dan kemajuan sesebuah negeri. Pelbagai aktiviti kebudayaan yang giat dijalankan sepanjang tahun di negeri Selangor adalah merangkumi pelbagai aspek kebudayaan termasuklah kebudayaan tradisi dan warisan, seni persembahan pentas dan layar, pementasan dan bengkel teater, penulisan dan kesusasteraan, acara kebudayaan daerah dan negeri dan lain-lain. Penganjuran program-program ini dapat memberikan peningkatan pembangunan aspek kebudayaan agar sejajar dengan kemajuan dari sudut fizikal, ekonomi dan sosial.

    Beberapa program pementasan teater bagi karya-karya sastera telah dirancang dan dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi aspek teater kebudayaan dan mencungkil bakat baru dalam persembahan seni pentas dan layar. Antara program-program yang terlibat adalah:

    1. Bengkel Teater Monolog di Universiti Malaya, Petaling Jaya yang dianjurkan pada 10 hingga 21 April 2018 merupakan sebuah program pembangunan teater dan platform mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang pementasan teater. Acara berbentuk bengkel dan pertandingan teater selama 11 hari ini meliputi cerita-cerita hikayat dari naskhah-naskhah hikayat Melayu yang sarat dengan nilai kesusasteraan dan kebudayaan tradisi.
    2. Program Minggu Teater Selangorku 2018 yang akan dianjurkan pada 3 hingga 9 Disember 2018 dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan (PADAT). Program selama 7 hari ini menggabungkan beberapa pengisian iaitu sesi pementasan, bengkel dan pertandingan teater yang akan menampilkan penyertaan dari pelbagai persatuan-persatuan dan penggiat teater khususnya dari negeri Selangor.
    3. Pementasan Teater Bangsawan Kanak-kanak bakal dianjurkan oleh kerajaan Negeri Selangor dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerusi program pengisian Kota Seni di Petaling Jaya pada 23 hingga 25 November 2018 bertempat di Auditorium Dewan Sivik MBPJ. Penganjuran ini bakal menyaksikan pelapis-pelapis muda dan berbakat membuat pementasan teater mengenai sejarah Kesultanan Melayu di Negeri Selangor bertajuk “Opu Chendera Burong Raja Siti”.

     

    Bagi persembahan simfoni dan pameran seni Selangor, perlaksanaan bagi program ini adalah masih dalam pertimbangan dan penilaian semula dari pelbagai sudut termasuklah perlaksanaan dan penyelarasan melalui agensi yang berkaitan seperti PADAT dan Tourism Selangor. Pertimbangan dan penilaian lanjut ini juga adalah bagi memperincikan elemen budaya dan identiti yang bersesuaian untuk diketengahkan supaya dapat diselarikan dengan kebudayaan tradisi dan warisan negeri Selangor dalam program-program yang dirancang.

    Selain itu, sebagai sebuah inisiatif dalam membangunkan bakat muda, Program Hadiah Sastera Selangor 2018 merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Selangorkini bertujuan memberikan penghargaan dan menyemarakkan aktiviti penulisan dan sastera dalam Negeri Selangor. Program ini memberi peluang khususnya kepada penulis bakat baharu dan yang telah mapan untuk mengambil bahagian dalam penulisan karya-karya khususnya dalam bentuk puisi, cerpen dan rencana untuk diterbitkan di akhbar dan laman sesawang Selangorkini sepanjang tahun. Karya-karya yang diterbitkan ini akan dinilai oleh juri yang berpengalaman untuk diberikan hadiah bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Seterusnya, karya-karya terpilih ini akan diterbitkan menjadi sebuah antologi sastera dan penulisan Hadiah Sastera Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.