Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

19 November - 22 November 2013 dan 25 November - 29 November 2013

117) ALAM SEKITAR

Tahun: 2013

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. JAS Negeri Selangor melaksanakan inisiatif Program Rakan Alam Sekitar (RAS) sejak tahun 2009 mengikut kawasan Parlimen di Negeri Selangor untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Sejauh manakah keberkesanan dan pencapaian program ini?

    Program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang dilancarkan pada tahun 2009 melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Jabatan Alam Sekitar selaku Urus setia RAS merupakan program yang melibatkan wakil rakyat atau pemimpin masyarakat di peringkat Parlimen bersama-sama rakyat melaksanakan program kesedaran alam sekitar secara hands-on di mana setiap ahli RAS juga akan bertindak sebagai mata dan telinga Kerajaan di dalam menangani isu-isu alam sekitar secara kolektif.

     

    Objektif utama RAS ialah:-

     

    1. Memberikan kesedaran alam sekitar di setiap lapisan masyarakat;

     

    1. Menanamkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk bertindak dan mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama; dan

     

    • Menyediakan saluran yang tepat bagi orang awam membuat aduan dan pandangan berkaitan alam sekitar kepada agensi-agensi Kerajaan berkenaan.

     

    Di antara pencapaian program ini sejak dilancarkan pada tahun 2009 ialah bilangan keahlian RAS yang berdaftar di Negeri Selangor adalah seramai 17,665 ahli yang terdiri daripada pelajar, belia, guru, kakitangan Kerajaan, pesara, pihak industri dan orang awam. Seterusnya pelbagai aktiviti

     

    pendidikan dan kesedaran alam sekitar telah dikongsikan bersama di kalangan ahli-ahli RAS mengikut kawasan Parlimen melalui penganjuran sambutan Minggu Alam Sekitar, flagship Sekolah Lestari, Kem Kesedaran Alam Sekitar (KeKAS), seminar, ceramah, pameran, gotong-royong, acara berbasikal kayuhan hijau, acara konvoi kenderaan pacuan empat roda Jejak Mesra RAS, Hari Bertemu Pelanggan dan sebaran maklumat melalui blog RAS, facebook RAS dan media massa.

     

    Impak daripada aktiviti-aktiviti kesedaran tersebut telah membolehkan Ahli Parlimen mengetahui isu-isu alam sekitar dengan lebih jelas di kawasannya dan dapat bekerjasama dengan ahli-ahli RAS dan Jabatan/Agensi Kerajaan berkaitan menangani masalah-masalah alam sekitar yang dihadapi melalui perkongsian pintar dan tindakan secara kolektif. Peningkatan kes-kes aduan daripada orang ramai berkaitan isu- isu alam sekitar di Negeri Selangor mencerminkan keprihatinan dan kesedaran awam terhadap kepentingan memulihara alam sekitar semakin tinggi dan secara langsung menuntut langkah-langkah penambahbaikan perlu sentiasa diberikan perhatian berat di dalam perancangan pembangunan yang seiring dengan konsep kelestarian, pengurusan alam sekitar dan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan oleh Pihak Berkuasa.

     

    Program RAS telah dapat dilaksanakan di 22 kawasan Parlimen seperti Sungai Besar, Kuala Selangor, Pandan, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Kelana Jaya, Subang, Shah Alam, Kota Raja, Kuala Langat dan Hulu Selangor yang melibatkan aktiviti-aktiviti sambutan Minggu Alam Sekitar, Karnival Hijau Alam Sekitar, kempen penggunaan bekas makanan dan beg mesra alam sekitar, perkhemahan alam sekitar, program gotong-royong dan penanaman pokok bakau di kalangan ahli- ahli RAS di kawasan Parlimen berkenaan dan flagship Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) di 104 buah sekolah. Program flagship SLAAS diperkenalkan untuk memupuk nilai-nilai murni alam sekitar di kalangan warga sekolah dari aspek pengurusan, kurikulum, ko-kurikulum dan penghijauan. Hasil daripada program flagship SLAAS ini, sebanyak

    12 buah sekolah rendah dan menengah di Negeri Selangor telah mendapat anugerah pengiktirafan di Peringkat SLAAS Kebangsaan Tahun 2011/2012, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri lain Malaysia. Sekolah-sekolah tersebut ialah:-

     

    1. SMK Taman Dato Harun – menerima Anugerah Khas Inovasi & Kreativiti dan Anugerah Khas Sekolah Harapan

     

    1. SK Sri Utama – menerima Sijil Peringkat Kebangsaan (Perak).

     

    Penerima Sijil Peringkat Kebangsaan (Gangsa)

     

    • SMK Bandar Baru Sungai Buloh

     

    1. SMK Seksyen 16 Shah Alam

     

    1. SMK (P) Sri Aman

     

    1. SMK Abdul Jalil

     

    • SMK Seri Indah

     

    • SMK Sri Serdang

     

    1. SMK Engku Hussien

     

    1. SJK (C) On Pong II

     

    1. SK Cheras Indah

     

    • SK Taman Samudera

     

    Pada tahun 2013, usaha untuk menambah baik program RAS diteruskan dengan memperkenalkan Program Pasukan Pemantau Pencemaran (Program 3P) yang melibatkan ahli-ahli RAS terpilih mengikut kawasan Parlimen secara berperingkat dengan tujuan utama merangka pasukan khusus yang akan menjadi mata dan telinga Kerajaan menangani kes-kes pencemaran alam sekitar seperti pembakaran terbuka, pencemaran sungai dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.