Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

15) ALAM SEKITAR

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan sungai-sungai utama yang terdapat di Negeri Selangor yang telah menghadapi masalah pencemaran.

    Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor menjalankan program pengawasan kualiti air
    sungai di 82 stesen ke atas tiga lembangan sungai utama di Negeri Selangor yang
    meliputi 7 sub-lembangan seperti berikut:-
    (i) Sub-Lembangan Sungai Bernam
    (ii) Sub-Lembangan Sungai Tengi
    (iii) Sub-Lembangan Sungai Selangor
    (iv) Sub-Lembangan Sungai Langat
    (v) Sub-Lembangan Sungai Sepang
    (vi) Sub-Lembangan Sungai Buloh; dan
    (vii) Sub-Lembangan Sungai Klang
    Berdasarkan Indeks Kualiti Air Negara pada tahun 2009, status keseluruhan satu (1)
    sub-lembangan sungai, iaitu Sungai Bernam dikategorikan bersih. Manakala lima (5)
    sub-lembangan, iaitu Sg. Selangor, Sg. Tengi, Sg. Langat, Sg. Sepang dan Sg.
    Klang sebagai sederhana tercemar dan satu (1) lagi sub-lembangan, iaitu Sg. Buloh
    didapati tercemar.
    Pada tahun 2009, paras kepekatan pencemar bagi parameter pepejal terampai (SS)
    di semua sungai di Negeri Selangor didapati meningkat. Peningkatan tersebut
    berpunca daripada hakisan tebing sungai dan pengorekan pasir. Sementara itu,
    paras kepekatan pencemar bagi parameter ammoniakal nitrogen (NH3-N) di Sg.
    Klang, Sg. Tengi, Sg. Sepang, Sg. Langat dan Sg. Buloh didapati meningkat yang
    mana berpunca daripada pelepasan air kumbahan tanpa rawatan atau separa
    terawat dan juga aktiviti pertanian. Bagi parameter Keperluan Oksigen Biokimia
    (BOD5) menunjukkan peningkatan di Sg. Sepang, Sg. Tengi, Sg. Selangor, Sg.
    Bernam dan Sg. Buloh manakala di Sg. Langat dan Sg. Klang didapati paras BOD5
    menurun. Paras Keperluan Oksigen Kimia (COD) direkodkan meningkat di Sg.
    Buloh, Sg. Tengi dan Sg. Selangor pada tahun 2009 manakala penurunan paras
    COD dikesan di Sg. Langat, Sg. Klang dan Sg. Sepang.

Lampiran

Tiada Lampiran.