Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
190) ALAM SEKITAR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap kilang Ð kilang yang melepaskan asap berlebihan sehingga menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar terutamanya kilang Ð kilang di Kawasan Meru
Kilang-kilang yang didapati melakukan kesalahan melepaskan asap yang berlebihan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar akan diambil tindakan mengikut peruntukkan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu dengan mengeluarkan Notis Arahan, kompaun, tindakan mahkamah dan mengenakan Perintah Larangan beroperasi.
Rekod Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor mendapati kilang-kilang di kawasan sekitar Meru yang menghasilkan pencemaran udara adalah kilang berasaskan kayu, plastik, ”cement batching plant”, berasaskan getah, kimia, logam, percetakan dan tekstil. Tindakan yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar bagi mengawal pelepasan asap dari kilang-kilang ini adalah dengan membuat pemeriksaan berkala ke atas premis kilangkilang ini dan memastikan operasi kilang-kilang ini dilengkapi dengan alat kawalan yang sepatutnya, membuat percontohan pelepasan cerobong dan menyemak ’smoke record’ yang dipasang oleh kilang-kilang tersebut.
Pada tahun ini Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan lapan belas (18) pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di kawasan tersebut yang mana lima (5) dari pemeriksaan adalah berdasarkan kepada laporan aduan berhubung pencemaran udara dari penduduk sekitar. Dari lawatan tersebut Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah mengeluarkan empat (4) Notis Arahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi mengarahkan pekilang-pekilang untuk meningkatkan keupayaan alat kawalan pencemaran udara dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Sebanyak sembilan (9) kompaun telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor ke atas pekilang-pekilang yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 .
Dalam hubungan ini ingin dijelaskan juga bahawa kawalan ke atas pelepasan asap dari kilang-kilang ini juga bergantung kepada operasi alat kawalan yang dipasang. Terdapat juga kes-kes di mana alat kawalan yang dipasang tidak dikendalikan dengan baik semasa ketiadaan pegawai JAS di lapangan atas alasan cuba menjimatkan kos. Ini menyebabkan masih berlaku beberapa kes pencemaran dari masa ke semasa yang menyebabkan aduan orang ramai. Bagi kes-kes yang melibatkan aduan berulang dan siasatan mendapati aduan adalah berasas dan disebabkan kecuaian dari pihak kilang tindakan yang lebih tegas akan diambil.