ALAM SEKITAR
18) ALAM SEKITAR
Tahun:
Sesi:
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan telah melaksanakan kajian terperinci terhadap kesan kualiti alam sekitar di kawasan ternakan khinzir di Tanjung Sepat?
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor telah membuat pengawalan aktiviti penternakan khinzir terhadap kesan kepada alam sekitar melalui:
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor – Kaedah-Kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012, dan
- Lembaga Urus Air Selangor – Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor)
- Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor turut melaksanakan langkah-langkah berikut bagi mengawal kesan alam sekitar:-
- Membuat bancian ke atas semua ladang (128 buah) sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan jumlah babi yang diternak tidak melebihi kuota yang telah ditetapkan;
- Melaksanakan saringan efluen ke atas semua ladang sebanyak dua kali setahun atau lebih daripada itu ke atas ladang-ladang yang disyaki menimbulkan masalah pencemaran;
- Menggalakkan semua penternak menggunakan produk efektif mikrob (EM) untuk merawat kumbahan masing-masing seperti menggunakan bebola lumpur dan larutan EMAS yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (dengan harga yang sangat murah) atau pun yang dikeluarkan oleh syarikat swasta.
- Tambahan daripada itu, Satu Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) telah dilaksanakan bagi menambahbaik pengurusan penternakan khinzir di kawasan ini dengan cadangan penternakan secara moden dan berpusat di kawasan Ladang Tumbok, iaitu kawasan yang telah diwartakan sebagai Kawasan Penternakan Babi (Pig Farming Area).
Melalui kajian ini, cadangan penternakan khinzir secara moden dan berpusat ini diyakini akan dapat menyelesaikan isu-isu alam sekitar seperti pencemaran bau dan air.
- Terkini, Satu kajian semula sedang dilaksanakan oleh LUAS iaitu Kajian Semula Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) yang turut merangkumi pengawalan aktiviti penternakan khinzir. Hasil kajian ini akan digunakan bagi menambah baik peraturan sedia ada seperti senarai parameter dan had piawaiannya. kajian ini sedang di peringkat draf akhir dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2016.
