Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

44) ALAM SEKITAR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah masalah pencemaran alam sekitar terutamanya kualiti udara dan air di kawasan Tanjung Sepat diambil tindakan penyelesaian oleh kerajaan?

    Di daerah Sepang, terdapat lebih kurang 160 buah industri yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan daripada jumlah keseluruhan tersebut hanya 10 premis berada di dalam kawasan industri ringan Tanjung Sepat. Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menjalankan penguatkuasaan ke atas premis-premis tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan secara keseluruhannya pematuhan adalah memuaskan. Premis-premis tersebut merupakan industri ringan dan tidak menghasilkan impak pencemaran yang ketara.

    Di kawasan Tanjung Sepat, aktiviti pembakaran terbuka untuk tujuan pertanian khususnya di Sungai Belankan telah menyumbang kepada pencemaran kualiti udara di kawasan tersebut. Jabatan Alam Sekitar sentiasa menjalankan pemantauan melalui rondaan darat bagi mencegah aktiviti pembakaran terbuka. Aktiviti pertanian ini adalah di bawah seliaan Jabatan Pertanian dan Notis Arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan tersebut supaya mengambil langkah-langkah kawalan yang sewajarnya bagi memastikan larangan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sentiasa dipatuhi.  Selain itu, kebakaran hutan di kawasan ini juga menjadi penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan Jabatan Perhutanan merupakan agensi yang berperanan dalam menangani isu pencerobohan dan pembakaran hutan simpan.

    Bagi masalah pencemaran air, punca utama adalah daripada pelepasan kumbahan ladang-ladang ternakan babi di Tanjung Sepat. Aktiviti ini adalah di bawah bidang kuasa Enakmen LUAS 1999 dan Jabatan Veterinar.

    LEMBAGA URUS AIR SELANGOR

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kualiti sumber air di Selangor sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan. Pelbagai usaha telah diambil untuk mengimbangkan pembangunan yang pesat dan penjagaan sumber air.

    Setiap kes pencemaran diberi perhatian dan tindakan segera supaya ianya tidak menjejaskan keperluan masyarakat. Jabatan-jabatan teknikal berkaitan sentiasa berusaha untuk menguatkuasakan perundangan mengikut bidang kuasa masing-masing dan tampil dengan kaedah-kaedah baru untuk mengelakkan kejadian pencemaran yang sama berulang serta meningkatkan kualiti sumber air negeri.

    Kerajaan Negeri turut mengambil tindakan perundangan bagi isu-isu pencemaran seperti tindakan kompaun, sitaan dan pendakwaan. Contohnya kes pencemaran di Sungai Gong di mana menyalahi Seksyen 79, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.

    Isu pencemaran sungai ini tidak terhad hanya di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran sungai di mana pengawalan dan penguatkuasaannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, seperti kumbahan dan efluen perindustrian yang dikawalselia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974. Namun, setiap isu pencemaran yang melibatkan tindakan pelbagai agensi teknikal ini akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersepadu melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management, IRBM) dan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Coastal Mangement, ICM).

    Maklumat Tambahan LUAS

    Selain itu, kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dijalankan bagi isu-isu pencemaran lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, yang dipengerusikan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor, yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

    Dari segi aspek perundangan pula, cadangan untuk menambahbaik setiap perundangan adalah boleh dipertimbangkan mengikut keadaan semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.