Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

132) ALAM SEKITAR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program yang telah dijalankan sepanjang tahun dalam usaha melestarikan alam sekitar dan memulihara alam semulajadi?

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebanyak 63 program telah dirancang sepanjang tahun 2019 dalam usaha melestarikan alam sekitar dan memulihara alam semulajadi. Antara program yang telah dijalankan adalah seperti berikut:

     

    1. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) antaranya telah melaksanakan Program Pengasingan Sisa Dari Rumah; Pengkomposan Sisa Makanan di Pasar, Gerai Milik Majlis dan di Masjid dan Surau; serta Mengadakan Kempen Rendah Karbon di bangunan-bangunan di sekitar Pusat Bandar Shah Alam. MBSA telah memperuntukkan sejumlah RM455,400.00 bagi melaksanakan program-program memelihara dan memulihara alam sekitar pada tahun 2019.

     

    1. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah melaksanakan bancian dan penguatkuasaan penggunaan bahan biodegradasi di Bazar Ramadhan Petaling Jaya; Pendidikan penguatkuasaan melalui kaedah bancian premis yang menggunakan plastik pembungkusan, bekas pembungkusan polistrena dan juga polisi baru berkaitan larangan penyediaan penyedut minuman di kawasan umum; dan Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) untuk pelajar sekolah. Jumlah kos pelaksanaan bagi program-program ini adalah sebanyak RM20,000.00.

     

    1. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) antaranya telah melaksanakan Minggu Alam Sekitar Sekolah dan Taklimat Kempen Kesedaran Kebersihan di Sekolah-sekolah; Program Pengasingan Sisa Makanan dan Minyak Masak Terpakai di Medan Selera Awam; dan Program Kitar Semula- SmartGen MPSJ dengan jumlah kos pelaksanaan sebanyak RM20,000.00. Ini menjadikan jumlah kos yang telah dibelanjakan di daerah Petaling sebanyak RM495,400.00.

     

    1. Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) telah melaksanakan Program Tanam Pokok Dalam Bandar Negeri Selangor pada 21 Julai 2019 bertempat di Cyberjaya, Sepang. Selain itu, MPSepang telah mengadakan Kempen Pengasingan Sampah dengan kerjasama dengan komuniti melalui pemberian tong sampah secara percuma bagi tujuan pengasingan sampah; dan Pertandingan Kitar Semula di Peringkat Sekolah. Jumlah kos pelaksanaan bagi program-program ini di daerah Sepang adalah sebanyak RM718,580.00.
    2. Manakala, Majlis Perbandaran Klang telah merancang dan melaksanakan Program Penilaian Asas Pokok; Program Pengagihan Anak Pokok Mangga; dan Tree Learning Centre dengan dengan jumlah kos pelaksanaan di daerah Klang sebanyak RM70,000.00.

     

    1. Dalam usaha melestarikan alam sekitar dan memulihara alam semulajadi Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Program Bank Kitar Semula; Kempen Cintai Sungai dan Tasik Kita; serta Program Plogging iaitu aktiviti larian sihat sambil mengutip sisa sampah dengan jumlah kos pelaksanaan di daerah Gombak sebanyak RM140,000.00.

     

    1. Selain itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah merancang dan melaksanakan pelbagai program antaranya Program Tanam Pokok Teduhan dan Pokok Renek; Taklimat dan Demo ‘Unity Gardening Drum’ kepada Komuniti; serta Taklimat Isu Pencemaran Sungai Daripada Projek Pembangunan/ Pembinaan Lebuhraya. Jumlah kos pelaksanaan bagi program-program ini adalah sebanyak RM500,000.00.

     

    1. Manakala, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah melaksanakan Program Kajang River For Life Bersama Penduduk Kampung; Program Penyerahan Tong Kitar Semula Kepada Sekolah-sekolah; dan Program Food Waste Composting. Jumlah kos pelaksanaan bagi program-program ini adalah sebanyak RM100,000.00. Ini menjadikan jumlah kos yang telah dibelanjakan di daerah Hulu Langat adalah sebanyak RM600,000.00.
    2. Seterusnya, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah melaksanakan Program Pembersihan Pantai Negeri Selangor Peringkat Daerah Kuala Langat; Program Penanaman Pokok Bakau dan Rhu; serta Program Pemeliharaan Sungai Langat Bagi Melepaskan Benih Ikan. Jumlah kos pelaksanaan bagi program-program ini di daerah Kuala Langat adalah sebanyak RM400,000.00.

     

    1. Majlis Daerah Kuala Selangor telah melaksanakan Karnival Alam Sekitar dan Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2019; Kempen Sayangi Pantai bersama pelajar UNISEL; dan Program Penanaman Pokok Bersama UMW Corporation Berhad dengan jumlah kos pelaksanaan di daerah Kuala Selangor sebanyak RM104,319.00.

     

    1. Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah melaksanakan Karnival Sayangi Sungai; Karnival Sayangi Bumi; dan Kempen Pengasingan Sisa di Kawasan Perumahan dengan kos pelaksanaan di daerah Hulu Selangor sebanyak RM60,000.00.

     

    1. Dalam usaha melestarikan alam sekitar dan memulihara alam semulajadi, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah melaksanakan Program Tanam Pokok Bakau dan Pokok Berembang di Persisisan Pantai; serta Kempen Bebas Plastik dan Polisterina peringkat Sekolah dan Pasaraya dengan jumlah kos pelaksanaan di daerah Sabak Bernam sebanyak RM70,000.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.