Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

145) ATAS PRINSIP KEADILAN DAN KETERBUKAAN

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri masih lagi mengutamakan kelas F dalam melantik kontraktor untuk projek bawah kategori G1?

    1. Semua jabatan dan agensi di Negeri Selangor tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan 184.1 (d). Klausa ini menyatakan hanya kontraktor kerja yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) dalam gred dan kategori yang berkaitan sahaja dipelawa untuk mengambil bahagian di dalam urusan perolehan Kerajaan.

    Sebelum tahun 2012, pihak Perbendaharaan Malaysia mengklasifikasikan kontraktor tanpa mengikut kategori kerja dan had nilai perolehan kerja mengikut kelas kontraktor. Mulai tahun 2012, pihak CIDB telah mengklasifikasikan semula jenis-jenis kerja mengikut kategori iaitu kategori Bangunan (B), kategori Kerja Awam (CE), Kategori Mekanikal (M) dan kategori Elektrikal (E) dan istilah kelas kontraktor telah digantikan dengan istilah gred.

    Mengikut istilah CIDB, Kontraktor kelas F adalah bersamaan dengan kontraktor gred G1 manakala pendaftaran kontraktor adalah mengikut kategori kerja seperti yang dinyatakan sebentar tadi.

    Berdasarkan Arahan Perbendaharaan 184.1, semua kategori kerja yang tidak melebihi RM200 ribu, lantikan kontraktor akan dibuat dalam kalangan kontraktor gred G1 (yang dahulunya dikenali sebagai kontraktor kelas F).

    Bagi kerja-kerja melebihi RM200 ribu, pelantikan kontraktor bagi kerja-kerja tersebut akan mengikut kategori kerja, gred kontraktor dan had nilai perolehan sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Arahan Perbendaharaan 184.

    Sebagai contoh, bagi kerja-kerja di dalam kategori bangunan / awam / mekanikal yang mana had nilai perolehan kerja melebihi RM200 ribu hingga RM500 ribu, kontraktor yang berkelayakan adalah kontraktor gred G2 (yang dahulunya dikenali sebagai kontraktor kelas E). Manakala bagi kerja-kerja dalam kategori elektrik, CIDB mengklasifikasikan lantikan kontraktor bagi kerja-kerja yang melebihi RM200 ribu boleh dilantik dari kalangan kontraktor dari gred G2 hingga G7.

    Penjelasan lanjut mengenai had nilai perolehan kerja dan gred kontraktor mengikut kategori kerja adalah seperti di Jadual A dan Jadual B.

    Jadual di bawah disediakan untuk rujukan dan panduan YAB Menteri Besar.

    KONTRAKTOR KERJA

    KATEGORI BANGUNAN / AWAM/ MEKANIKAL

    Gred Had Nilai Perolehan Kerja Dahulunya dikenali sebagai Kelas
    G1 RM200,000 dan ke bawah F
    G2 Melebihi RM200,000 hingga RM500,000 E
    G3 Melebihi RM500,000 hingga RM1,000,000 D
    G4 Melebihi RM1,000,000 hingga RM3,000,000 D
    G5 Melebihi RM3,000,000 hingga RM5,000,000 C
    G6 Melebihi RM5,000,000 hingga RM10,000,000 B
    G7 Melebihi RM10,000,000 A

    Jadual A : Had nilai perolehan kerja dan gred kontraktor bagi kerja-kerja kategori bangunan / awam / mekanikal.

     

    KONTRAKTOR KERJA KATEGORI ELEKTRIK

    Gred Had Nilai Perolehan Kerja
    G1 Sehingga RM200,000
    G2 Sehingga RM500,000
    G3 Sehingga RM1,000,000
    G4 Melebihi RM200,000 hingga RM3,000,000
    G5 Melebihi RM200,000 hingga RM5,000,000
    G6 Melebihi RM200,000 hingga RM10,000,000
    G7 Melebihi RM200,000 dan ke atas

     

    Jadual B : Had nilai perolehan kerja dan gred kontraktor bagi kerja-kerja kategori elektrik.

Lampiran

Tiada Lampiran.