Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

193) BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu NGO di Selangor?

    Kerajaan Negeri senantiasa memandang serius dan mengambil berat akan peranan NGO-NGO di Negeri Selangor dalam usaha melaksanakan program-program berunsurkan kebajikan untuk meringankan bebanan rakyat di negeri ini. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Ke 18/2014 yang diadakan pada 21 Mei 2014 dan telah disahkan oleh MMKN Ke 19/2014 pada 4 Jun 2014 telah memutuskan peruntukan sebanyak RM500,000.00 di bawah Program Pemberian Sumbangan Kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi setiap tahun dan had maksimum telah ditetapkan RM5,000.00 bagi setiap NGO bergantung kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa. Peruntukan program ini dipecahkan kepada lima (5) Jawatankuasa Tetap bermula tahun 2017 seperti berikut:

    PORTFOLIO PERUNTUKAN
    Kerajaan Prihatin RM100,000.00
    Kebajikan RM100,000.00
    Pembangunan Generasi Muda RM100,000.00
    Pendidikan RM100,000.00
    Hal Ehwal Agama Islam RM100,000.00
    JUMLAH RM500,000.00

    Melalui Jawatankuasa Tetap tersebut, secara tidak langsung ia dapat memperluaskan jaringan komunikasi Kerajaan Negeri Selangor dengan NGO-NGO di seluruh Negeri Selangor. Jaringan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Selangor dan NGO-NGO dapat dijadikan platform dalam melaksanakan program atau aktiviti kebajikan yang mensasarkan anak yatim, ibu tunggal, orang tua dan orang kurang upaya (OKU) serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat Dengkil juga, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dalam usaha untuk memperkasakan Badan-Badan Bukan Kerajaan di Negeri Selangor dengan melaksanakan Program-program Kerajaan Negeri yang menjurus kepada kebajikan rakyat dengan kerjasama dan penglibatan NGO-NGO. Dengan kaedah sebegini, jaringan di antara Kerajaan Negeri dan NGO-NGO di Negeri Selangor dapat dipertingkatkan di samping mewujudkan kerjasama yang baik demi kepentingan rakyat. Kebanyakan program-program dan aktiviti yang dianjurkan melibatkan usahasama ini diserapkan dengan dasar-dasar Kerajaan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dahulunya dikenali dengan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Lampiran

Tiada Lampiran.