Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

114) BADAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mohon badan kebajikan masyarakat mempermudahkan sistem kemaskini data permohonan supaya pembayaran seterusnya boleh dibuat dengan segera kepada penerima yang layak

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menggunakan Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (e-Bantuan) yang telah dibangunkan pada tahun 2007 dan mula diperluaskan ke seluruh Negara mulai tahun 2008. Sistem ini merupakan sistem pangkalan data yang digunakan untuk memproses permohonan bantuan kebajikan daripada JKM.

    Tujuan sistem ini dibangunkan adalah untuk menyediakan pangkalan data penerima bantuan JKM serta memproses permohonan bantuan daripada peringkat permohonan, laporan siasatan, kelulusan hingga kepada janaan pembayaran.

    Sistem ini juga telah diintegrasikan dengan sistem MYIDENTITY daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertujuan untuk meningkatkan kesahihan data serta dapat mengesan dengan lebih awal penerima-penerima bantuan JKM yang telah meninggal dunia agar dapat mengelakkan bayaran bantuan dibuat kepada penerima yang telah meninggal dunia. Selain daripada itu sistem ini juga telah diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Kawalan Belanjawan Elektronik (e-SPKB) daripada Jabatan Akauntan Negara (JAN) bagi mempermudahkan penyediaan baucar pembayaran dan menguruskan pembayaran bantuan kepada klien Jabatan menerusi bank.

    Setakat 21 Mac 2015, data penerima bantuan yang direkodkan menerusi Sistem e-Bantuan bagi Parlimen Serdang adalah seperti berikut:-

     

     

    BIL

    SKIM BANTUAN SUMBER PERUNTUKAN KADAR SEBULAN BIL. KES ANGGARAN PERBELANJAAN SEBULAN (RM)
    1. Elaun Pekerja

    Cacat

    Persekutuan RM350

    sebulan

    371 129,850
    2. Bantuan Orang Tua Persekutuan RM300

    sebulan

    313 93,900
     

    3.

    Bantuan OKU Tidak Berupaya

    Bekerja

     

    Persekutuan

    RM200

    sebulan

     

    199

     

    39,800

     

    4.

     

    Bantuan Kanak- Kanak

     

    Persekutuan

    RM100

    hingga RM450

    sebulan

     

    162

     

    48,600

     

    5.

    Bantuan Penjagaan OKU

    / Pesakit Kronik Terlantar

     

    Persekutuan

     

    RM300

    sebulan

     

    75

     

    22,500

     

    6.

     

    Bantuan Am

     

    Negeri

    RM100

    hingga RM175

    sebulan

     

    98

     

    14,700

    7. Bantuan Anak Pelihara Persekutuan RM250

    sebulan

    4 1,000
    JUMLAH 1,222 350,350

     

    Selain daripada sistem ini, pihak Jabatan juga ada menyediakan kemudahan panjar khas Tabung Bantuan Segera (TBS) dengan kadar maksimum RM300 sekaligus yang boleh diberikan secara tunai atau dalam bentuk barangan keperluan kepada mereka yang layak. Selain itu, pemberian panjar khas TBS ini boleh dipertimbangkan kepada penerima-penerima bantuan Jabatan terdiri daripada mereka yang amat memerlukan dan tidak berkemampuan yang tidak mampu menunggu bayaran pertama sedia ada sekiranya layak.

    Dengan adanya sistem e-Bantuan serta kemudahan panjar khas TBS dapat membantu mempercepatkan sistem penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan tetapi tidak berkemampuan, membantu mengurangkan kesilapan, memperkemaskan perkhidmatan bantuan dan mengelakkan pertindihan penerima bantuan JKM.

Lampiran

Tiada Lampiran.