Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

34) BADAN PENGURUSAN BERSAMA FLAT (JMB)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat banyak pangsapuri atau flat tiada JMB atau JMB kurang aktif. Tiada penduduk yang berminat menubuhkan JMB baru dan kutipan yuran penyelerengan tidak memuaskan. Hal ini menimbulkan kesukaran untuk menjalankan segala urusan. Apakah tindakan akan diambil demi menyelesaikan masalah ini?

    Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka perlu bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka. Peruntukan akta berkenaan jelas menyatakan hak-hak dan tanggungjawab pemilik-pemilik petak terhadap unit pangsapuri yang mereka beli dan miliki.

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan masalah pengurusan pangsapuri kos rendah ini yang tidak mampu menguruskan bangunan akibat yuran penyelenggaraan yang terlalu rendah atau tidak dibayar. Antara inisiatif tersebut ialah memberi pendedahan dan latihan kepada  pihak Pengurusan atau Badan Pengurus dan Bersama (JMB) berkenaan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. Pihak JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757). Selain itu, JMB diberi penerangan berhubung mekanisme membawa pemilik-pemilik tegar ini ke mahkamah atau Tribunal Pengurusan Strata bagi tujuan mendapatkan hutang yuran pengurusan.

    Inisiatif kedua, Kerajaan Negeri turut akan membekalkan sistem pengurusan kewangan strata kepada setiap JMB/MC di negeri Selangor untuk memantapkan pengurusan kewangan terutama dari aspek pengurusan kutipan dan pengurusan kos. Sistem ini dapat membantu JMB merancang dan meneliti kadar pengenaan yuran penyelenggaraan bersesuaian dengan kos yang dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Latihan penggunaan sistem akan dilaksanakan secara berperingkat supaya pemahaman penggunaan dan impak ke atas penyediaan sistem ini dapat disampaikan secara terus kepada pihak JMB/MC.

    Inisitif bagi pangsapuri yang belum menubuhkan JMB/MC, kerajaan Negeri telah melaksanakan program Pemberdayaan Komuniti atau K-Squad. Program ini mengambilkira peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] untuk mengambilalih pangsapuri yang bermasalah tersebut. Di bawah program ini, COB akan mengenalpasti pangsapuri yang bermasalah dan melantik ejen pengurusan yang kompeten untuk menguruskan pangsapuri yang bermasalah ini. Bayaran fi kepada ejen akan disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan sahaja pada kadar RM6.00 seunit petak iaitu 50% lebih rendah dari kadar fi yang ditetapkan seperti Jadual 7, Akta Penilai, Pentaksir Dan Ejen Harta Tanah 1981 [Akta 242]). Jangkaan output yang akan diperolehi daripada program K-squad adalah pangsapuri kos rendah yang bermasalah dapat diuruskan secara teratur terutama melibatkan pengurusan kewangan selain memberi pendidikan kepada pemilik tentang budaya kehidupan strata yang berterusan agar memudahkan pengurusan pangsapuri diambilalih oleh JMB/MC selepas 1-3 tahun

Lampiran

Tiada Lampiran.