Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

37) BADAN PENGURUSAN BERSAMA (JMB/MC)

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan dan solusi yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi permasalahan yang timbul di kawasan yang tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama?

    Berdasarkan Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318], hakmilik tanah bagi sesebuah kawasan pemajuan strata adalah hakmilik semua pemilik dan mereka perlu bertanggungjawab untuk menyenggara dan mengurus bangunan pangsapuri mereka. Peruntukan akta berkenaan jelas menyatakan hak-hak dan tanggungjawab pemilik-pemilik petak terhadap unit pangsapuri yang mereka beli dan miliki.

     

    Tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi permasalahan di pangsapuri terutamanya jenis kos rendah yang tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB/MC) ialah dengan melaksanakan program Pemberdayaan Komuniti atau K-Squad. Program ini mengambilkira peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] untuk mengambilalih pangsapuri yang bermasalah tersebut. Namun demikian, kuasa tersebut tidak dapat dilaksanakan berikutan tiada ejen pengrusan yang berminat untuk menguruskan bangunan memandangkan melibatkan kos penyenggaraan yang tinggi.

     

    Justeru itu, Program K-Squad melalui COB akan mengenalpasti pangsapuri yang layak seterusnya melantik ejen pengurusan yang kompeten untuk menguruskan pangsapuri yang bermasalah ini. Bayaran fi kepada ejen akan disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pada kadar RM6.00 seunit petak (50% lebih rendah dari kadar fi yang ditetapkan seperti Jadual 7, Akta Penilai, Pentaksir Dan Ejen Harta Tanah 1981 [Akta 242]). Ejen pengurusan di bawah program K-Squad perlu mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah disediakan supaya pengurusan yang dilaksanakan oleh ejen berkenaan mencapai objektif membantu komuniti pangsapuri yang tiada badan pengurusan. Jangkaan output yang akan diperolehi daripada program K-squad adalah pangsapuri kos rendah yang bermasalah dapat diuruskan secara teratur terutama melibatkan pengurusan kewangan selain memberi pendidikan kepada pemilik tentang budaya kehidupan strata yang berterusan agar memudahkan pengurusan pangsapuri diambilalih oleh JMB/MC selepas 1-3 tahun.

     

    Setakat 30 September 2019, jumlah pangsapuri yang terlibat dalam program K-Squad adalah 55 kawasan yang terdiri daripada 17,645 unit petak dengan nilaian kos RM561,994.20 yang melibatkan 2 fasa pelantikan. Pecahan peruntukan kos bagi program K-Squad mengikut kawasan COB adalah seperti berikut:

     

    BIL. FASA JUMLAH KAWASAN JUMLAH UNIT NILAIAN KOS (RM)
    1. Fasa Satu 10 5,689 193,858.20
    2. Fasa Dua 45 11,956 368,136.00
    JUMLAH 55 17,645 561,994.20

     

Lampiran

Tiada Lampiran.