Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

48) BAIK PULIH APARTMENT KRISTAL

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan negeri dalam menangani isu projek Apartment Kristal yang terbengkalai sejak sekian lama?

    Untuk makluman Yang Berhormat, projek apartment Kristal, Selayang Mutiara telah disahkan sebagai projek perumahan swasta terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 18 Februari 2013. Pemulihan projek perumahan ini akan dilaksanakan menggunakan peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN). Buat masa ini, JPN sedang melaksanakan proses perolehan pra-kelayakan (Pre-Q) bagi mempelawa kontraktor-kontraktor yang berminat bagi projek ini. Berdasarkan perancangan baharu proses perolehan bagi projek ini, Surat Setuju Terima (SST) pada pihak kontraktor yang berjaya dijangka akan dikeluarkan pada awal bulan Februari 2021 manakala tarikh milik tapak pula dijangka pada pertengahan atau akhir Februari 2021.

    KerajaanNegeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berkerjasama dengan KPKT dalam usaha menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini sejak sekian lama. Antara pendekatan yang telah diambil oleh LPHS dalam menangani isu projek apartment Kristal yang terbengkalai ini adalah mengadakan perbincangan secara berkala bersama Pejabat Tanah Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, KPKT dan pihak pelikuidasi (Hall Chadwick Corporate Advisory Sdn. Bhd) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT). Perbincangan turut diadakan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan. JPPT bertujuan bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak antaranya bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai dalam memulihkan projek ini. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan disamping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Pada tahun 2019 Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPT PBT) ditubuhkan untuk memastikan focus pemulihan, pengurusan isu sepanjang pengendalian mesyuarat dan pemantauan penyelesaian projek terbengkalai di kawasan 12 PBT dapat ditangani dengan lebih cekap, holistik, telus dan sistematik secara berterusan dengan kolaborasi pelbaga agensi.

Lampiran

Tiada Lampiran.