Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

138) BAIK PULIH PANGSAPURI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Selain menunggu aduan, apakah langkah Kerajaan Negeri dalam mengenalpasti pangsapuri bermasalah dan uzur di Selangor?

    Di Negeri Selangor, sebahagian besar bandarnya telah berusia sekitar 40 tahun. Faktor-faktor perubahan masa dan kesesuaian pembangunan masa kini, banyak kawasan penempatan tersebut perlu diberi nafas baru. Malahan, pada masa kini banyak aduan dan laporan tentang masalah pangsapuri-pangsapuri yang mengalami keretakan bangunan dan kerosakan infrastrusktur. Contohnya seperti apa yang berlaku di Flat Taman Keramat Permai. Justeru itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 2/2020 bertarikh 30 Jun 2020 telah meluluskan Garis Panduan Pembaharuan Semula (Urban Renewal) Penempatan Bandar Di Negeri Selangor tanpa sebarang pindaan. Garis panduan ini sangat penting kerana kandungannya memperincikan Dasar Pembaharuan Semula Bandar, termasuk hal berkaitan ‘redevelopment’ di Negeri Selangor dan selaras dengan segala hal berkaitan perundangan sedia ada. Pendekatan pembaharuan bandar ini sebagai satu mekanisme bagi membantu meningkatkan kualiti persekitaran kehidupan penduduk di bandar terutama yang tinggal di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam usaha untuk mengenalpasti pangsapuri bermasalah dan uzur terutamanya pangsapuri kos rendah telah membangunkan satu sistem Pengurusan Kewangan Pangsapuri (E-COB) yang digunapakai di setiap Bahagian/Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB). Sistem ini menjadi pangkalan data untuk menyemak maklumat pangsapuri dan pengurusan kewangan badan pengurusan bersama (JMB) di setiap kawasan yang dikawal selia oleh PBT. LPHS dari semasa ke semasa akan menyemak setiap data yang dilengkapkan oleh COB untuk dijadikan laporan berkala di peringkat negeri. Mulai tahun 2018, Kerajaan Negeri juga melaksanakan program Pemberdayaan Komuniti atau K-Squad untuk menyelesaikan isu pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang bermasalah atau gagal menubuhkan Pengurusan Badan Pengurusan (JMB). Program ini mengambilkira Pesuruhjaya Bangunan (COB), di Pihak Berkuasa Tempatan yang mempunyai kuasa untuk melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] bagi mengambil alih pangsapuri yang gagal ditubuhkan JMB. Namun demikian, kuasa tersebut sukar dilaksanakan secara efektif kerana tiada ejen pengurusan yang berminat untuk menguruskan bangunan terutama melibatkan jenis kos rendah yang telah uzur memandangkan kos penyenggaraan yang amat tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.