Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

44) BAIKPULIH HAY RESORT

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh mana tindakan Kerajaan Negeri berkenaan baik pulih Hay Resort Sabak Bernam?

    Rumah Rehat Sabak Bernam adalah merupakan Rumah Rehat yang terdahulunya diusahakan oleh Syarikat Hay Resort & Services kini telah diserahkan pengurusannya di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil 21/2018 yang bersidang pada 18 Julai 2018 telah memutuskan pengurusan baharu Rumah Rehat Sabak Bernam dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara Request for Proposal (RFP). Justeru itu, UPEN diarahkan untuk menjemput syarikat-syarikat yang berminat, termasuk anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) untuk mengemukakan Request for Proposal (RFP) yang lengkap bagi maksud pelantikan pengurusan baharu Rumah Rehat Sabak Bernam.

     

    Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan  tindakan-tindakan seperti berikut:

     

    (i)      MMKN Bilangan 21/2018 turut memutuskan pelantikan RELA bagi mengawal selia dan memantau keselamatan Rumah Rehat Sabak Bernam. Perkhidmatan kawal selia tersebut telah disediakan daripada 1 September 2018 sehingga 18 Disember 2018. Susulan daripada itu, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam telah melantik Pengawal dan Pembantu Penguatkuasa bermula pada 19 Disember 2018 sehingga kini bagi meneruskan perkhidmatan kawal selia dan memantau keselamatan di Rumah Rehat Sabak Bernam.

     

    (ii)     Lawatan tapak ke Rumah Rehat Sabak Bernam sekali lagi diadakan pada 18 September 2018 yang turut dihadiri wakil daripada  pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam, pegawai Tourism Selangor Sdn Bhd dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

     

    (iii)    Hasil daripada lawatan ini, Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa kerja-kerja penyelenggaraan berskala besar diperlukan bagi maksud pembaikan struktur dan komponen bangunan Rumah Rehat Sabak Bernam. Justeru, jangkaan kos pembaikan dan pemuliharaan bangunan dianggarkan menelan perbelanjaan yang besar.

     

    (iv)    Susulan daripada itu juga, tindakan bagi penentuan demarkasi sempadan kompaun bangunan bagi maksud pewartaan tanah juga telah diselesaikan pada pertengahan November 2018.

     

    (v)     Selaras dengan keputusan MMKN Bilangan 21/2018 seperti di atas, dua (2) Jawatankuasa Penilaian perlu ditubuhkan bagi maksud membantu penyediaan dokumen RFP dan menilai serta memberi maklumbalas ke atas kertas cadangan  yang dikemukakan merujuk kepada Garis Panduan Perolehan Secara Request for Proposal diperkara 3.8.4 (d) antaranya menyebut:

     

             “Agensi hendaklah menubuhkan satu jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Kewangan bagi menilai semua cadangan RFP, Laporan Hasil Penilaian hendaklah dibentangkan kepada Lembaga Perolehan Agensi untuk keputusan”

     

    (vi)    Bagi maksud pelaksanaan RFP ini, enam (6) jabatan/agensi telah dikenalpasti untuk membantu penyediaan dokumen RFP serta membantu menilai cadangan RFP yang akan diterima daripada syarikat-syarikat yang berminat. Susulan daripada itu, seramai tujuh belas (17) pegawai telah dikenalpasti dan dicalonkan sebagai ahli Jawatankuasa Penilaian RFP Pembangunan Semula Rumah Rehat Sabak Bernam.

     

    (vii)   UPEN juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat jawatankuasa teknikal dan kewangan bagi memperhalusi kaedah perancangan pembangunan RRSB dengan kaedah RFP.

     

    (viii)  Dalam hal ini, menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) pada 16 Mac 2019 turut membincangkan mengenai cadangan  agar pengurusan RRSB ini disekalikan dengan pengurusan Kelong Sabak Bernam sebagai tambah nilai ekonomi untuk pembangunan RRSB tersebut. Justeru itu, MMKN Bilangan Ke 20/2019 bertarikh  17 Julai 2019 telah bersetuju supaya :-

     

    1. UPEN menyemak cadangan pembangunan semula RRSB untuk dilaksanakan secara sewaan tidak melebihi tiga (3) tahun dan pulangan kepada Kerajaan Negeri Selangor secara sales turnover, dan bukan secara perkongsian keuntungan seperti dicadangkan;
    2. Bersetuju supaya tawaran dibuka dan diiklankan secara Request For Proposal (RFP) daripada syarikat/pembida yang berminat dan berkelayakan. UPEN diminta menyemak dengan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) businesss model yang bersesuaian; dan
    3. Sebagai alternatif, sekiranya tiada sebarang syarikat/pembida yang dapat mengemukakan business model sebagaimana memuaskan Kerajaan Negeri, tapak RRSB ini dicadangkan dilupuskan secara tender terbuka dan diuruskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTGS) Selangor.

     

    (ix)    UPEN juga telah mendapatkan penilaian semasa oleh JPPH Klang pada 12 November 2019 dengan berdasarkan kadar nilaian pasaran, sewaan 3 tahun dan kadar sewaan bilik penginapan mengikut hotel bertaraf 3 bintang bagi cadangan baikpulih RRSB.

     

    Justeru, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri supaya baikpulih Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) ini dilaksanakan bersekali dengan Kelong Sabak Bernam dan seterusnya pelantikan pengurusan baharu yang sama bagi memudahkan proses perancangan dan pemantauan kedua-dua premis tersebut. Pengurusan baharu yang akan dilantik hendaklah mempunyai pengalaman dan tahap kewangan yang kukuh serta komited dalam menjayakan hasrat Kerajaan Negeri bagi pembangunan semula kedua-dua premis tersebut melalui kaedah Request for Proposal.

Lampiran

Tiada Lampiran.