Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

17) BAIKPULIH & MENAIKTARAF INFRASTRUKTUR SUKAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk memberikan kelonggaran terhadap penggunaan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur sukan selain daripada infrastruktur sukan seliaan Pejabat Daerah?

    Kerajaan Negeri amat menitikberatkan aspek pembangunan sukan dan sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor. Justeru itu, penyediaan kemudahan sukan untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti-aktiviti kesukanan tidak pernah diabaikan.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 kepada setiap Dewan Negeri bagi Projek Menaiktaraf dan Membaikpulih Kemudahan Sukan. Untuk makluman, keperluan pembaikan kemudahan sukan di peringkat Dewan Negeri adalah bagi memastikan kemudahan sukan yang telah rosak dapat dinaiktaraf untuk digunakan oleh masyarakat setempat. Kemudahan ini boleh digunakan sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kesukanan dan riadah bagi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan berdaya saing.

    Untuk makluman, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 13 / 2019 yang diadakan pada 23 Mei 2019 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 14 / 2019 pada 29 Mei 2019 telah menimbang dan meluluskan Penggunaan Peruntukan Sukan di kawasan Dewan Negeri seperti berikut: –

    • Bersetuju agar penggunaan 1/3 daripada 30% jumlah peruntukan Projek Kecil di bawah peruntukan Y.B. Ahli Dewan Negeri hendaklah digunakan bagi menaiktaraf dan membaikpulih infrastruktur sukan;
    • Bersetuju agar peruntukan P01-07002 (Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan) sebanyak RM40,000.00 disalurkan secara Waran kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berdasarkan Surat Setuju Terima (SST);
    • Bersetuju agar semua pelaksanaan bagi projek membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur sukan perlu berdasarkan Proses Kerja Bagi Cadangan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Kemudahan Sukan seperti di Lampiran 1 dan menjadikan Bill of Quantity yang telah disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sebagai rujukan bagi pelaksanaan projek tersebut; dan
    • Bersetuju agar Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Infrastruktur Sukan bagi tahun 2019 dikhususkan kepda kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf padang bola sepak manakala bagi tahun-tahun berikutnya akan ditentukan oleh Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sukan.

     

    Selaras dengan keputusan tersebut, satu penambahbaikan telah dibuat bagi Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Kemudahan Sukan di kawasan Dewan Negeri yang mana pada tahun ini, projek ini akan dikhususkan kepada Kerja-Kerja Membaikpulih dan Menaiktaraf Padang Bola Sepak.

Lampiran

Tiada Lampiran.