Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

14) BAJET DAN PERUNTUKAN KERAJAAN PRIHATIN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peratusan bajet 2014 dan cadangan bajet 2015 untuk Kerajaan Prihatin daripada jumlah bajet Kerajaan Negeri?

    Program Kerajaan Prihatin telah diwujudkan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan, mempunyai rumah yang daif dan tidak selamat untuk diduduki bagi memiliki sebuah rumah yang lebih selesa untuk Program Kerajaan Prihatin ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan yang mana jumlah pendapatan seisi rumah adalah dibawah RM1,500.00 sebulan. Bantuan ini diutamakan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai.

    Sehubungan dengan itu, bagi tahun 2014, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta daripada jumlah bajet keseluruhan Kerajaan Negeri sebanyak RM800 juta. Peruntukan tersebut merangkumi peruntukan sumbangan kepada Badan – Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebanyak RM500,000.00 yang memohon sumbangan melalui jawatankuasa ini. Manakala bagi tahun 2015, dianggarkan peruntukan sejumlah RM1.5 juta tersebut dikekalkan. Peruntukan ini digunakan bertujuan untuk melaksanakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Kerajaan Prihatin, pembelian barangan program serta program – program turun padang Y.B EXCO ke daerah – daerah di Negeri Selangor. Sebahagian peruntukan ini juga digunakan bagi membiayai kos bina baru rumah dan baik pulih rumah yang telah diluluskan di dalam Mesyuarat Pemilihan Bantuan Rumah Program Kerajaan Prihatin.

    Walau bagaimanapun, peruntukan yang terhad tersebut telah ditambah dengan sumbangan peruntukan berjumlah RM5.1 juta daripda anak – anak syarikat negeri. Anak syarikat yang memberi sumbangan kepada Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sumbangan yang diterima ini digunakan khas untuk Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin.

Lampiran

Tiada Lampiran.