Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

133) BANCIAN ATAU AUDIT SEMULA TERHADAP PENGHUNI-PENGHUNI RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang menjalankan bancian atau audit semula terhadap penghuni-penghuni rumah kos rendah untuk memastikan rumah-rumah ini didiami mereka yang berkelayakan?

    Kerajaan Negeri tidak perlu menjalankan bancian atau audit semula terhadap penghunipenghuni rumah kos rendah untuk memastikan rumah-rumah ini didiami mereka yang berkelayakan memandangkan sejumlah 46,359 permohonan daripada keseluruhan 79,675 pemohon yang berjaya memiliki rumah kos rendah telah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan negeri seperti berikut : –

     

    i) warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan bermastautin di negeri

    Selangor;

    ii) pemohon atau suami/isteri belum memiliki rumah; dan

    iii)pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM2,500.00.

    Nama-nama pemohon perlu melalui tapisan Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah (SPPR) rumah kos rendah yang kemudiannya, nama-nama tersebut disenarai pendek untuk dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah Kos Rendah yang mana ahlinya terdiri daripada pegawai dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil Pejabat Tanah dan Daerah. Senarai nama tersebut kemudiannya  akan dikemukakan kepada Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kelulusan.

    Walaubagaimanapun, dari jumlah di atas seramai 5,221 permohonan DITOLAK kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan seperti di atas. Pada masa yang sama, terdapat sejumlah 46,291 merupakan bekas setinggan yang ditawarkan untuk membeli rumah kos rendah pada harga RM35,000.00 tanpa perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan asalkan mereka dikategorikan sebagai setinggan melalui bancian yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pentadbir Tanah daerah masing-masing. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa mereka yang dikelaskan sebagai setinggan layak membeli rumah kos rendah tanpa tapisan oleh LPHS dan memenuhi kriteria dan dasar pemilikan rumah kos rendah oleh kerajaan negeri seperti yang dinyatakan di atas.

    Di samping itu, terdapat juga golongan yang membeli rumah kos rendah daripada pembeli pertama setelah tamat tempoh 5 tahun dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli sebagai syarat untuk menjual semula rumah mereka. Mereka yang membeli melalui kaedah “sub-sale” juga terkecuali daripada syarat-syarat asal yang dikenakan memandangkan rumah yang dijual adalah pada harga melebihi RM42,000.00 seunit, iaitu harga kawalan yang ditetapkan bagi rumah kos rendah. Selain dari itu, pendapatan pemilik rumah kos rendah (pembeli pertama) secara majoritinya telah meningkat dari tahun ke tahun. Oleh yang demikian, memang wujud pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang tidak berkelayakan memiliki rumah kos rendah.

    Dua situasi di atas iaitu pembelian rumah kos rendah oleh setinggan dan penjualan rumah kos rendah kepada pembeli kedua, yang kedua-duanya tidak perlu memenuhi syarat pemilikan rumah kos rendah serta peningkatan pendapatan tahunan pemilik asal rumah kos rendah adalah menyumbang kepada timbulnya pandangan tersebut.

    Selanjutnya, sekiranya bancian atau pengauditan semula dilaksanakan dan didapati rumahrumah tersebut didiami oleh mereka yang tidak berkelayakan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai hak atau kuasa di sisi undang-undang untuk mengeluarkan, mengusir atau menghalau penghuninya memandangkan penjualan rumah tersebut adalah dibuat secara sah melalui Perjanjian Jual dan Beli di antara pemohon dan pemaju perumahan melainkan terdapat unsur-unsur penipuan dalam transaksi penjualannya atau hakmilik rumah tersebut. Namun, hanya pemaju yang berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemohon atas kapasiti sebagai pemilik asal tanah dan bukan Kerajaan Negeri.  Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri bersedia menyiasat sebarang aduan yang disokong oleh bukti-bukti yang kukuh.

Lampiran

Tiada Lampiran.