Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

86) BANDARAYA/BANDAR SELAMAT

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ciri-ciri yang dilaksanakan di Bandaraya/ Bandar di Selangor untuk menjamin keselamatan bagi kaum wanita dan gadis di ruang awam?

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunapakai Garis Panduan Crime Prevention Through Environmental Design (CPTED) yang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Antara ciri-ciri yang dilaksanakan di Bandaraya/ Bandar di Selangor untuk menjamin keselamatan bagi kaum wanita dan gadis di ruang awam adalah seperti:

     

    i)              Mensyaratkan penyediaan tempat letak kereta khas untuk wanita

    PBT mewajibkan semua bangunan komersial supaya menyediakan tempat letak kereta khas untuk wanita. Syarat tersebut akan dinyatakan di dalam kelulusan Kebenaran Merancang bagi setiap pembangunan baru, manakala bagi premis komersial sediada syarat tersebut akan dikenakan semasa proses memperbaharui lesen perniagaan. Kemudahan tempat letak kereta khas ini akan dilengkapi dengan kemudahan CCTV, pengawal keselamatan dan berhampiran dengan pintu masuk bangunan.

     

    ii)            Penyediaan kemudahan CCTV

    Kemudahan CCTV juga adalah antara faktor/aspek yang dikenakan ke atas pemaju untuk disediakan samada di kawasan tempat letak kereta (khas wanita) dan di sekitar bangunan perdagangan.

     

    iii)          Menaiktaraf pencahayaan

    Laluan-laluan pejalan kaki dinaiktaraf dengan menyediakan lampu-lampu jalan bagi memastikan tiada sebarang ruang gelap atau tersembunyi yang terdedah kepada peluang jenayah berlaku. Kemudahan sokongan lain juga disediakan oleh pihak pemaju adalah seperti pengawal keselamatan dan bits polis.

Lampiran

Tiada Lampiran.