Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

50) BANJIR KILAT

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Penghuni di DUN Sri Muda terus dibelenggu masalah banjir dan banjir kilat. Dalam minggu ke 2 bulan Mac 2008 DUN Sri Muda telah dilanda banjir sebanyak 3 kali: Adakah Kerajaan Negeri terdahulu telah mengenal pasti punca banjir ini dan jika ia telah diketahui puncanya kenapakah tiada tindakan diambil dalam mengatasi masalah ini dan di manakah kawasan-kawasanyang paling kerap di landa banjir di negeri Selangor serta berapakah nilai kerosakkan dalam jangka masa itu?

    Sememangnya Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang
    kerap dilanda banjir, punca-punca banjir dan mengambil langkah-Iangkah
    pencegahan banjir tertakluk kepada peruntukan yang ada misalnya, kawasan
    banjir di DUN Sri Muda ialah seperti berikut :-

     

    (i) TAMAN SRI MUDA

    Kawasan Taman Sri Muda seluas kira-kira 600 ekar telah pun dilengkapi dengan infrastruktur tebatan banjir yang siap pada 1 Oktober 1998. Kerajaan telah pun membelanjakan kira-kira 38 juta melalui 2 fasa projek yang telah disiapkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Majlis bandar raya Shah Alam. Komponen kerja yang telah disiapkan adalah seperti berikut :
    (a) Membina parit konkrit dari kolam takungan ke pintu air.
    (b) Membina kolam takungan (10 ekar).
    (c) Membina rumah pam.
    (d) Membina perangkap sampah automatik.
    (e) Memasang 3 buah sistem amaran banjir.
    (f) Memasang sistem telemetri (SCADA).
    (g) Pengukuhan ban Sungai Klang menggunakan batu pejal.

    (ii) PARIT JALAN JOHAN SETIA

    Parit Jalan Johan Setia sepanjang kira-kira 5.2 km sering melimpah dan
    membanjiri kawasan lot-lot individu yang rendah. Keadaan menjadi semakin buruk disebabkan beberapa faktor berikut :

    (a) Jambatan-jambatan milik persendirian yang rendah dan sempit.
    (b) Pembangunan sekeliling kawasan seperti jalan raya dan perumahan
    yang dibina lebih tinggi dari kawasan ini.

    Sebagai langkah jangka pendek JPS menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan membersihkan kelodak sebanyak 2 kali setahun dan kerja pusingan 2 kali baru sahaja dimulakan.

    (iii) TAMAN BUKIT RIMAU

    Taman Bukit Rimau sering mengalami banjir disebabkan oleh pertambahan air larian permukaan akibat pembangunan yang pesat di bahagian hulu Sg. Rasau merangkumi Taman Bukit Kemuning dan kawasan sekitarnya. Sekiranya hujan lebat berterusan aliran air di kawasan ini mengambil masa yang lama untuk mengalir ke hilir disebabkan paras permukaan dasar Sungai Rasau yang agak landai. Ini diburukkan lagi dengan 2 jajaran parit yang melalui taman ini berserenjang (90°) mengalir ke Sungai Rasau. Pihak JPS telah memasang sebuah sistem siren amaran banjir di kawasan taman ini bagi langkah awal sekiranya berlaku banjir kilat. Apa yang dilakukan oleh JPS adalah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan ‘downstream’ taman ini bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh mengganggu kelancaran pengaliran air Sungai Rasau.

Lampiran

Tiada Lampiran.