Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

12) BANJIR KILAT DI KAMPUNG PERMATANG PASIR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah pihak JKR mempunyai perancangan untuk menaik taraf sistem perparitan di pekan Kampung Permatang Pasir?

    Berdasarkan siasatan dan kajian yang telah dilaksanakan pihak JKR Selangor terhadap 2 kejadian banjir kilat yang berlaku di pekan Kampung Permatang Pasir, ianya adalah berpunca daripada pelaksanaan Projek Tangki Air Bukit Jugra yang dilihat gagal untuk melaksanakan pelan kawalan hakisan dan kelodak (erosion and sediment control plan, escp) dan pelan pengurusan alam sekitar (environmental management plan, emp) mengikut spesifikasi dan amalan kejuruteraan yang wajib dipatuhi.

    Sistem perparitan sedia ada di kawasan tersebut adalah untuk menampung kapasiti aliran permukaan (surface runoff) jalan sahaja dan didapati masih mencukupi. Ini dibuktikan dengan tiada berlaku sebarang kejadian banjir sebelum projek tangki air bukit jugra dilaksanakan.

    Sehingga kini, pihak JKR Selangor belum ada perancangan untuk menaik taraf sistem perparitan di pekan Kampung Permatang Pasir. Walaubagaimanapun, dengan mengambil kira jangkaan pertambahan aliran permukaan (surface runoff) daripada pembangunan projek tersebut, pihak JKR Selangor telah mengarahkan kepada pihak kontraktor untuk menyelenggara sistem perparitan di kawasan ini. Bagi jangka masa panjang, pihak JKR Selangor akan mensyaratkan kepada pihak pemaju yang berkaitan untuk menaiktaraf sistem perparitan di pekan Kg Permatang Pasir.

Lampiran

Tiada Lampiran.