Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

78) BANTUAN ASNAF OLEH LZS

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Antara asnaf yang layak menerima zakat sepertimana yang dinyatakan di dalam Al QurÕan Surah At Taubah ayat 60 adalah Ar Riqab dan Fi Sabilillah. Ar Riqab dari segi bahasa bermaksud Hamba manakala Fisabilillah pula bermaksud mereka yang berjuang di jalan Allah. Memandangkan sistem perhambaan sudah lama pupus bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia. Apakah takrifan terkini kepada Ar Riqab dalam konteks asnaf yang boleh dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor dan apakah seorang pelacur yang dibela oleh bapa-bapa ayam boleh dianggap berada di dalam kategori ini bagi membebaskan dia dari cengkaman dan penganiayaan yang diterima persis seorang hamba?

    Ar-Riqab adalah salah satu Asnaf yang layak menerima zakat sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran, Surah at-Taubah ayat 60. Ar-Riqab dari sudut bahasa bermaksud tengkuk atau sesuatu yang membelenggu tengkuk seseorang.

     

    Dari sudut Istilah Syara’ pula ia bermaksud : Hamba Mukatab (Hamba yang dijanjikan oleh tuannya akan dimerdekakan jika ia berjaya membayar sejumlah wang kepada tuannya) yang terbelenggu dengan perhambaan dan ingin membebaskan dirinya dari perhambaan kepada tuannya.

     

    Walau bagaimanapun, oleh kerana sistem perhambaan sudah tidak lagi wujud pada masa kini, maka sebahagian Ulama telah membuat tafsiran baru terhadap maksud  ArRiqab.

     

    Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud Ar-Riqab tidak hanya terkhusus kepada hamba sahaja sebagaimana yang berlaku pada zaman awal Islam. Bahkan mereka memperluaskan takrifan hamba kepada maksud yang lebih luas. Antara pendapat-pendapat tersebut ialah sebagaimana berikut :

     

    1. Diriwayatkan dalam Mazhab Imam Ahmad bahawa orang Islam yang dijadikan tawanan perang oleh tentera kafir boleh diperuntukkan wang zakat kepada mereka untuk membebaskan diri. Kerana dengan cara itu ia dapat membebaskan dirinya daripada belenggu perhambaan sebagai tawanan perang. (ar-Raudhul Muri’-Jilid 1/ms 402)

     

    1. Al-Qadhi Ibnu Al-Arabi dari Mazhab Imam Malik berkata : Ulama telah berbeza pendapat tentang peruntukkan zakat untuk membebaskan tawanan perang menggunakan peruntukan Asnaf ar-Riqab. Sebahagian ulama Maliki berkata : Tidak harus menggunakannya. Manakala Imam Ibnu Habib pula berpendapat : Boleh menggunakan wang zakat. Ia berhujah, jika membebaskan hamba Muslim dari perhambaan tuannya yang Muslim dianggap ibadah, maka membebaskan seorang Muslim dari perhambaan tawanan perang orang kafir itu lebih utama dan mulia. Ini kerana perhambaan telah pun terhapus, sedangkan peperangan melawan musuh masih lagi wujud. Oleh itu, peruntukkan ini (arRiqab) perlu diperluaskan untuk membebaskan hamba tawanan perang dari kalangan orang Islam.

     

    1. Sheikh Rashid Redho dalam kitab tafsirnya (Al-Manar) menjelaskan, peruntukan asnaf ar-Riqab boleh digunakan untuk membebaskan bangsa dan Negara yang dijajah oleh musuh-musuh Islam. Pendapat beliau ini telah disokong oleh Syeikhul Azhar Sheikh Mahmud Syaltut.

     

    Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, maka Lembaga Zakat Selangor telah mengambil pendekatan untuk mengguna pakai tafsiran semasa asnaf ar-Riqab iaitu tidak hanya terhad kepada hamba sahaya sahaja.

     

    Berdasarkan Fatwa Sistem Pengurusan Agihan Zakat Negeri Selangor yang telah dibentangkan oleh LZS (MAIS) di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 6/2008 yang bersidang pada 30 hb Disember 2008, takrifan Asnaf Riqab adalah sebagaimana berikut :

     

    ASNAF RIQAB 

              

    Takrif : 

    Riqab ialah hamba Islam atau seorang yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya.

     

    Kriteria: 

    1. Beragama Islam.
    2. Tiada sumber kewangan yang cukup dan/atau tidak mendapat bantuan daripada sumber-sumber lain.
    3. Seorang yang telah disahkan ingin membebaskan dirinya dari belenggu1 yang dihadapi.2

     

    Konsep Agihan: 

    1. Pemberian adalah berasaskan permohonan dan siasatan serta pengesahan.
    2. Meringankan bebanan.

                                                            

    1 Belenggu adalah kuasa luaran atau keadaan yang merampas dan menjatuhkan maruah dan kebebasan seseorang sebagai seorang Muslim. 2 Contoh:

    1. a) Penagih dadah yang terbelenggu dengan dadah:
    2. Bekas penagih dadah ii. Penagih yang masih menagih
    3. b) Pelacur yang ingin membebaskan diri dari belenggu pelacuran.

     

    1. Pemberian hanya kepada individu yang bersedia untuk menjalani pemulihan dan pemantauan yang diaturkan untuk mereka.
    2. Usaha memulihkan akhlak dan akidah.

     

    Jenis Bantuan: 

    1. Bantuan Pemurnian Aqidah
    2. Bantuan Pemulihan Akhlak
    3. Tabung Pembebasan Fir-Riqab

     

    Oleh itu, jelas bahawa pelacur yang ingin membebaskan diri mereka dari perhambaan pelacuran adalah termasuk dalam kategori asnaf ar-Riqab. Walau bagaimanapun, bantuan tidak boleh diberikan dengan sewenangnya dan  hanya akan diberikan dengan syarat mereka bersedia menjalani program pemulihan akhlak dan pemantauan yang diaturkan untuk mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.