Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

223) BANTUAN BARU SECARA HOLISTIK

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Memandang masalah bebanan meningkat kepada keluarga miskin terutama bagi kaum bukan Melayu selepas dasar GST, apakah inisiatif kerajaan membantu mereka?

    Secara dasarnya, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan. Oleh yang demikian, pelaksanaan GST ini didapati memberi kesan/ impak terhadap kehidupan seharian bagi semua lapisan masyarakat secara amnya dan golongan berpendapatan rendah khususnya tanpa mengira kaum. Akibatnya, kuasa membeli rakyat semakin berkurang disebabkan rakyat sendiri yang perlu menanggung beban kos sara hidup susulan yang semakin meningkat susulan kenaikan harga barang secara mendadak kesan daripada pelaksanaan GST.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-

    • Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    • Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
    • Program Kemahiran Teknikal melalui Kolej Antarabangsa INPENS
    • Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
    • Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
    • Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.

    Selain itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin pula, Kerajaan Negeri turut membantu rakyat Selangor yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berteduh melalui Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan pelbagai lagi. Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Dar Al-Qadr Al Hasan Selangor telah memperkenalkan Program HIJRAH Selangor, di mana ianya merupakan program mikrokredit yang dijangka berupaya meningkatkan pendapatan rakyat Negeri Selangor serta melebarkan golongan kelas menengah.

    Melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini, ianya diharap akan menghasilkan impak positif dan berkesan secara berterusan kepada golongan sasaran serta akhirnya berupaya mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Selangor melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Lampiran

Tiada Lampiran.