Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

85) BANTUAN BAS SEKOLAH UNTUK KELUARGA MISKIN BANDAR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Tambang bas sekolah yang mahal di bandar telah membebankan ibubapa yang mempunyai beberapa orang anak bersekolah. Apakah bantuan bas sekolah dapat dipanjangkan kepada pelajar di bandar?

    a) dan b)

    Saya menyambut baik akan keprihatinan Yang Berhormat Taman Medan dalam menyuarakan persoalan berkenaan hal ehwal semasa yang melibatkan pendidikan anak-anak pada masa kini. Sepertimana kita semua sedia maklum, kadar tambang bas sekolah kian meningkat dari tahun ke tahun serta dengan penguatkuasaan penggunaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) pada masa kini. Justeru itu, secara tidak langsung memberi impak yang tinggi dari aspek kewangan kepada ibu bapa yang mempunyai tanggungan anak persekolahan yang ramai. Untuk makluman Yang Berhormat Taman Medan, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah menyediakan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah khusus kepada anak- anak pekerja ladang yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang di seluruh Negeri Selangor. Bantuan ini disasarkan khusus kepada anak-anak pekerja ladang sahaja yang diklasifikasikan sebagai golongan miskin dan sering ketinggalan di dalam arus pendidikan yang berkembang pesat.

    Untuk makluman Yang Berhormat Taman Medan, syarat-syarat Program Subsidi Tambang Bas Sekolah adalah seperti berikut :-

    • Terbuka kepada anak-anak pekerja ladang atau bekas pekerja ladang yang bersekolah di Negeri Selangor dengan pendapatan penjaga mereka adalah di bawah RM1,500.00 sebulan
    • Permohonan haruslah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang berkenaan
    • Seorang pelajar hanya layak menerima sumbangan subsidi RM300.00 dari Kerajaan Negeri Selangor sekali sahaja dalam tempoh satu tahun

     

    Pemberian Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada anak-anak pekerja ladang adalah terhad dengan mengutamakan permohonan terawal yang diterima memandangkan peruntukan sedia adalah sebanyak RM1.3 juta dengan merangkumi program-program sedia ada seperti:

     

    • Majlis Penyampaian Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Di Seluruh Negeri Selangor
    • Program Bantuan Yuran Pengajian Anak-Anak Pekerja Ladang di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta
    • Program Subsidi Tambang Bas Sekolah Bagi Anak-anak Pekerja Ladang Di Seluruh Negeri Selangor
    • Program-program motivasi, seminar dan bengkel bagi meningkatkan taraf pendidikan di kalangan anak-anak pekerja ladang

     

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri senantiasa peka akan keperluan dan kebajikan rakyat di Negeri Selangor. Melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), Program Bas Smart Selangor adalah merupakan program bas percuma yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Perkhidmatan bas percuma ini akan melalui laluan utama di kawasan-kawasan tumpuan di Negeri Selangor. Secara tidak langsung, rakyat dapat memanfaatkan perkhidmatan ini khususnya bagi pelajar-pelajar sekolah sebagai alternatif untuk mengurangkan kos bas persekolahan di bandar-bandar. Bas Smart Selangor merupakan komitment Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan bebas kos sara hidup rakyat Negeri Selangor yang kian meningkat dan ia adalah terbuka kepada semua orang awam di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.