Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

245) BANTUAN GOLONGAN PETANI,NELAYAN DAN RAKYAT KESELURUHANNYA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah mekanisme yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu golongan petani,nelayan dan rakyat keseluruhannya yang berdepan dengan isu kos sara hidup yang tinggi mutahir ini?

    Kerajaan Negeri sedia maklum akan peningkatan kos sara hidup pada ketika ini yang telah memberikan kesan khususnya kepada golongan petani, nelayan dan penternak. Peningkatan tersebut juga telah menyebabkan kos-kos pengeluaran seperti input pertanian dan juga peralatan bagi pertanian semakin meningkat dan tidak terkecuali juga makanan ternakan. Antara mekanisme yang sedang digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan petani, penternak dan nelayan adalah seperti berikut:-

    1. Program Bantuan

    Program bantuan dalam bentuk pemberian input dan peralatan akan diteruskan di mana melalui peruntukan pembangunan berjumlah RM27.8 juta oleh Kerajaan Negeri kepada jabatan yang berkaitan, hampir 70% daripadanya adalah untuk program bantuan seperti bantuan baja, ternakan, peralatan menangkap ikan dan peralatan untuk produk proses atau Industri Asas Tani (IAT).

    1. Program Pemasaran

    Program pemasaran seperti Selangor Agro Market (SAM) telah terbukti memberikan impak yang amat positif kepada golongan tersebut termasuk golongan pembeli di mana melalui program SAM, hasil pertanian dijual secara terus kepada pengguna dari ladang dan melalui kaedah tersebut para pengusaha boleh menjual dengan harga yang lebih baik serta pembeli boleh membeli barangan dengan harga yang lebih murah sehingga 40% dari harga pasaran. Program SAM telah dirancang untuk dilaksanakan di lebih 100 lokasi di seluruh Negeri Selangor.

    1. Pembukaan Kawasan Pertanian Baharu

    Salah satu impak positif hasil dari Program SAM, beberapa kawasan pertanian baharu akan mula dibuka melalui Program Ladang Kontrak yang melibatkan bantuan Kerajaan Negeri dari segi pemilihan lokasi serta kos awal penyediaan infrastruktur asas dan bimbingan kepada pengusaha agar mengusahakan hasil yang telah dikenalpasti mempunyai permintaan pasaran (market demand).

    Dalam pada itu juga, pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu akan mengambil kira potensi pasaran termasuk hasil-hasil pertanian untuk tujuan proses seperti tanaman roselle dan juga melon yang mana ianya akan melibatkan pihak FAMA Selangor selaku agen pemasar serta jabatan dan agensi lain sebagai pelaksana projek. Kaedah tersebut lebih tersusun dan dapat mengelakkan lambakan hasil di pasaran yang boleh mengakibatkan hasil jualan yang terlalu rendah.

    1. Program Penggalakkan Pemasaran Eksport

    Program Penggalakkan Pemasaran Eksport (produk tier 1) adalah merupakan program yang dirangka bagi memastikan produk yang berkualiti tinggi dan menepati syarat-syarat eksport akan terus diperkasakan. Menerusi program ini, bukan sahaja produk yang menepati pasaran eksport akan dibantu, bahkan secara tidak langsung produk-produk yang berada pada tahap tier 3 iaitu produk yang masih memerlukan bantuan dari segi kualiti dan juga kuantiti boleh dikenalpasti dan seterusnya turut sama dibantu sehingga mencapai tahap tier 1. Ianya boleh membantu golongan pengusaha untuk memperoleh pasaran yang lebih luas serta meningkatkan pendapatan mereka.

    1. Program Pemodenan Pertanian

    Program Pemodenan Pertanian merupakan program yang menerapkan penggunaan peralatan moden dan berteknologi tinggi di dalam sektor pertanian. Memandangkan secara puratanya kos awal penyediaan sesuatu projek yang berkonsepkan moden dan berteknologi tinggi adalah tinggi, Kerajaan Negeri akan menyediakan infrastruktur asas di tapak untuk membolehkan pengusaha belajar dan menimba pengalaman serta akhirnya pengusaha yang terlibat mampu berdikari dan membuka kawasan sendiri. Program ini akan melibatkan agensi kewangan seperti Agro Bank untuk turut serta sebagai pemberi pinjaman disamping bantuan awal oleh Kerajaan Negeri.

    1. Program Tanaman Makanan Ternakan

    Bagi membantu golongan penternak yang menghadapi masalah kenaikan kos makanan ternakan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Tanaman Makanan Ternakan lembu dan kambing di beberapa kawasan terpilih. Tanaman ternakan yang akan diusahakan oleh para penternak akan menggunakan kaedah cut and carry dan dijangka akan dapat mengurangkan kos makanan ternakan dan seterusnya meningkatkan keuntungan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.