Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

134) BANTUAN KEPADA BELIA DAN RAKYAT YANG TIADA PEKERJAAN TETAP

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah ada mekanisma yang digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi penduduk yang tiada pekerjaan tetap atau pun para belia untuk membantu mereka seperti projek penternakan, projek usahawan, projek buka tanah untuk pertanian dan sebagainya?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan Pertanyaan Bertulis No 129 berhubung Peluang Pekerjaan Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda. Ini termasuklah dalam membantu meningkatkan pendapatan anak muda di Negeri Selangor. Berdasarkan data dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES), populasi belia di Negeri Selangor merangkumi hampir separuh daripada populasi rakyat Negeri Selangor yang berjumlah seramai 6 juta orang.

    Umur

    2018

    2019

    15-30

    1,601,700 orang 1,558,400 orang
    30-40 3,118,700 orang 2,953,900 orang
    Jumlah 4,720,400 orang

    4,512,300 orang

    Sumber: Cawangan Pengurusan Data, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia (IYRES)

    Sementara itu, data dari Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pula menunjukkan kadar pengangguran yang dicatatkan di Negeri Selangor adalah seperti berikut:-

    • 2016 (3.2%)
    • 2017 (2.8%)
    • 2018 (2.8%)

    Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

    Sehubungan itu, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri memberikan peluang perniagaan kepada para belia dan beliawanis untuk memulakan kerjaya dalam bidang perniagaan, pertanian, perladangan, perindustrian dan pelancongan adalah seperti berikut:-

    • Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan program Karnival Kerjaya (Job Fair) secara berkala (2 kali setahun). Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Jobs Malaysia bermula pada tahun 2014.

    Setiap tahun Kerajaan Negeri telah menganjurkan program berskala mega buat julung kalinya iaitu Selangor Mega Job Fair. Penganjuran program ini telah melibatkan sebanyak 210 syarikat swasta terpilih yang mengadakan temuduga terbuka (walk in interview) selain 20 Agensi/ Jabatan Kerajaan turut terlibat menjayakannya. Melalui penyertaan syarikat swasta dan agensi terlibat, sekitar 12,000 peluang pekerjaan telah ditawarkan termasuklah oleh 20 majikan yang turut menawarkan peluang ini  kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Hampir 20,739 pengunjung mendapat manfaat melalui program ini. Jumlah permohonan yang berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan pada hari tersebut ialah seramai 3,497 orang. Program yang dilaksanakan ini telah berjaya melibatkan pemohon berdaftar seramai 8,493 orang.

    Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia terutamanya selain membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.

    • Program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan

     Kerajaan Negeri turut mengadakan program siri latihan keusahawanan secara atas talian dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan beberapa moderator kursus yang terpilih.  Intipati kursus adalah modul mudah yang meliputi jualan, pemasaran dan kewangan secara atas talian.  Peserta dibimbing untuk mudah membina perniagaan dalam masa yang singkat.

    • Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

    Kerajaan Negeri menggalakan penglibatan Generasi Muda dalam Sektor Pertanian dan memperkasakan usahawan-usahawan Generasi Muda yang telah pun memulakan Projek-projek Pertanian.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negari telah melaksanakan pelbagai Program untuk Generasi Muda yang berminat menceburi sektor pertanian sebagaimana antaranya :-

    1. Program Agropreneur Muda / Petani;
    2. Program Bantuan Peralatan Pertanian;
    3. Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda; dan
    4. Rantaian E- Bekalan Digital Selangor (SELDEC) Rider.

     

    • Skim Bantuan HIJRAH Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015. Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010.  Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 hingga 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    • Program Latihan Kemahiran Keusahawanan atau KPS Entrepreneurship Development Programmes yang dilaksanakan oleh Kumpulan Peransang Selangor Berhad

    Program Latihan Keusahawanan KPS telah dilaksanakan untuk menangani isu pengangguran dan menggalakkan para peserta untuk meningkatkan keyakinan terhadap keusahawanan dan memulakan perniagaan berskala kecil atau meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan yang telah dijalankan.

    Program-program latihan ini terbuka kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan atau isi rumah berpendapatan rendah atau mereka yang tinggal di bawah garis kemiskinan (RM1,500 setiap rumah tangga sebulan). Pada tahun 2019, KPS telah memperuntukkan sebanyak RM471,278.00 untuk menganjurkan lima jenis program keusahawanan dan program  ini telah melibatkan seramai 143 peserta dari sembilan daerah di Selangor. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan peserta dan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi kumpulan sasaran.

    Antara program yang disediakan adalah seperti :

    • Home Care for Elderly (Caregiver) – Pusat Jagaan Orang Tua;
    • Perkhidmatan selepas bersalin (postnatal);
    • Latihan Penternakan;
    • Program Latihan Eksport (Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE); dan
    • Program Pemberdayaan Wanita

Lampiran

Tiada Lampiran.