Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

35) BANTUAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauhmana keberkesanan Program Bantuan Blueprint dan Program Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dapat memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukan dan sehingga kini berapa orang yang telah mendapat manfaat di kawasan DUN Sabak?

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan sebahagian daripada empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga- peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang

    Bagi tujuan untuk memantau serta mengenalpasti impak dan keberkesanan pelaksanaan program ini, satu Kajian Impak yang melibatkan penerima manfaat bagi tahun 2010 hingga tahun 2014 telah dijalankan oleh Pejabat Daerah Dan Tanah. Hasil kajian impak tersebut mendapati bahawa 92.8% penerima manfaat telah berjaya meningkatkan pendapatan mereka. Manakala hanya 0.3% penerima manfaat pula didapati pendapatan mereka semakin menurun dan 6.9% penerima manfaat pula tiada perubahan terhadap pendapatan mereka.

    Berdasarkan rekod, sehingga 24 Ogos 2018, sejumlah 3,652 orang telah menerima manfaat daripada program ini sejak ianya mula dilaksanakan pada tahun 2008. Daripada jumlah tersebut, seramai 94 orang daripada DUN Sabak yang telah menerima manfaat dengan kos perbelanjaan sebanyak RM276,400.00. Manakala bagi Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) yang merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor untuk meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang- kurangnya 100 usahawan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM250,000.00 kepada setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak. Setiap pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Skop bantuan ialah seperti berikut:

    1. Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
    2. Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;
    3. Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahwan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
    4. Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
    5. Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di negeri Selangor.

     

    Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) telah memberi manfaat kepada lebih 500 orang penerima daripada pelbagai bidang. Sehingga Ogos 2018 seramai 77 orang usahawan daripada Sabak Bernam telah menerima manfaat DUMS ini yang bernilai RM1,028,069.00. Walau bagaimanapun, prestasi jualan penerima bantuan akan dipantau selepas 6-12 bulan penerimaan bantuan oleh Pejabat Daerah Dan Tanah di sembilan daerah di Negeri Selangor.

    Pada masa kini, Kerajaan Negeri melalui Institut Darul Ehsan (IDE) kini sedang melaksanakan Kajian Impak bagi Program Dana Usahawan dan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dalam usaha mengkaji secara menyeluruh keberkesanan dan impak pelaksanaan program.

Lampiran

Tiada Lampiran.