Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

201) BANTUAN KHUSUS UNTUK IBU TUNGGAL DAN OKU

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah skim atau rancangan khusus Kerajaan Negeri untuk membantu nasib golongan tersebut?

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin terhadap kebajikan kepada golongan ini. Justeru itu, pelbagai bantuan terhadap ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah disediakan sebagaimana berikut:

    Ibu Tunggal :

    1. Bantuan modal perniagaan

    Kerajaan Negeri menyediakan skim pinjaman mikrokredit untuk ibu tunggal sehingga RM50,000.00 melalui HIJRAH Selangor bagi mengembangkan aktiviti perniagaan.

    2.      Bantuan Kesihatan

    Bagi golongan Ibu Tunggal yang layak, boleh mendapat Bantuan  Kesihatan Sihat Selangor bagi 5 jenis bantuan iaitu penyakit katarak, rawatan dialisis buah pinggang, pembedahan kecil, bantuan kaki palsu dan kos rawatan lain- lain di hospital-hospital kerajaan.

    3.      Pemeriksaan Saringan Mammogram Percuma

     Ibu Tunggal yang berumur 35 tahun dan ke atas layak untuk mendapat manfaat pemeriksaan saringan mammogram secara percuma di pusat pemeriksaan panel Kerajaan Negeri sebagai langkah pencegahan terhadap kanser payu dara.

    4.      Hadiah Anak Masuk Universiti

     Bagi anak-anak kelahiran Selangor yang berjaya mendapat tawaran menyambung pelajaran di IPT/IPTS yang di iktiraf Kerajaan, layak untuk mendapat manfaat Hadiah Anak Masuk Universiti berjumlah RM1,000.00 daripada Kerajaan Negeri.

    5.      Bantuan Yuran Anak ke Nurseri/Taska – Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar)

    Bantuan yuran nurseri/taska sebanyak RM 100 setiap bulan kepada golongan ibu tunggal yang ingin menghantar anak-anak yang berumur 4 tahun dan ke bawah ke nurseri atau taska.

    6.      Bantuan Pendidikan Anak – Pusat Tuisyen Rakyat (PTRS)

    Bantuan pendidikan untuk anak-anak berbentuk kelas tambahan (tuisyen) kepada para pelajar yang memperolehi keputusan yang sederhana atau lemah.

    7.      Bantuan Anak ke Tadika – Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS)

     Bantuan yuran tadika sebanyak RM50, setiap bulan kepada kanak-kanak tadika daripada keluarga yang layak.

    8.      Program dan latihan kemahiran – Pusat Wanita Berdaya (PWB)

     pelbagai program kursus dan latihan kemahiran serta pembangunan bagi wanita terutama golongan ibu tunggal dan surirumah disediakan di Pusat Wanita Berdaya di setiap DUN.

    Orang Kelainan Upaya (OKU):

    1. Bantuan Kewangan – Elaun Pekerja Cacat 

    Bantuan sebanyak RM350 sebulan bagi OKU yang bekerja sebagai penyenggaraan pendapatan (income maintenance) serta insentif untuk menggalakkan OKU bekerja dan hidup berdikari.

    2.      Bantuan OKU Tidak Bekerja

     Bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada OKU yang tidak bekerja untuk membantu menyara kehidupan golongan OKU yang tidak berupaya untuk bekerja.

    3.      Bantuan Penjaga OKU Terlantar

     Bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada penjaga OKU sepenuh masa yang merupakan ahli keluarga OKU bagi membantu meringankan beban perbelanjaan penjagaan OKU terlantar.

    4.      Bantuan Kesihatan Sihat Selangor

     terdapat 5 jenis bantuan iaitu bagi merawat penyakit katarak, rawatan dialisis buah pinggang, pembedahan kecil, bantuan kaki palsu dan kos rawatan lain- lain di hospital-hospital kerajaan atau pembelian peralatan sokongan/alat tiruan seperti alat pendengaran, tongkat tangan, kalipers dan lain-lain yang disyorkan pegawai/pakar perubatan.

    5.      Bantuan Tongkat Putih ”White Cane” dan Mesin Braille

     Bantuan pembelian “White Cane” dan Mesin Braille bagi OKU cacat penglihatan.

    6.      Bantuan Perniagaan

     Skim Pengembangan Usahawan oleh Hijrah Selangor menyediakan pinjaman sehingga RM50,000.00 bagi usahawan OKU yang ingin mengembangkan perniagaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.