Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

152) BANTUAN RUMAH UNTUK BEKAS PEKERJA LADANG

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah bekas pekerja ladang yang masih belum menerima bantuan rumah mengikut kawasan?

    Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik persoalan yang dikemukakan oleh

    Y.B. Jeram berhubung perancangan untuk membantu bekas pekerja ladang di Negeri Selangor terutamanya yang telah bersara untuk mencari dan memiliki perumahan baru.

     

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Selangor setakat ini belum mempunyai program bantuan khusus untuk membantu bekas pekerja ladang yang telah bersara untuk mendapatkan rumah selepas mereka bersara.

    Namun begitu, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah mengambil beberapa langkah dan inisiatif dalam menangani masalah perumahan ini dengan melaksanakan beberapa siri lawatan dan turun padang ke ladang – ladang di seluruh Negeri Selangor bagi mendapatkan maklum balas, pandangan dan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja ladang berkenaan bagi membantu mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat.

    Dalam membela nasib bekas pekerja ladang, kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad namun melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemilik ladang bagi pembangunan kawasan perladangan khusus bagi bekas pekerja ladang dengan mengambil kira syarat

    – syarat yang ditetapkan oleh “Estate Land Board” (ELB).

     

    Kerajaan Negeri komited menjaga nasib bekas pekerja ladang di ladang – ladang sebaik mungkin seperti:

    • Ladang Bukit Rajah – Seramai 75 keluarga telah dibantu dalam memiliki rumah teres satu tingkat dengan harga diskaun di bawah portfolio Pekerja Ladang. Selain itu juga, Portfolio Pekerja Ladang telah membantu mereka

     

    untuk mendapatkan   tapak kuil dan dewan komuniti sebagai kemudahan kepada mereka ;

     

    • Ladang Bangi – Seramai 22 orang bekas pekerja ladang telah dibantu bagi mendapatkan persetujuan oleh majikan mereka untuk membina rumah kos rendah dan kos ditanggung oleh majikan itu sendiri. ;

     

    • Taman Permata Dengkil – Kerajaan Negeri telah menyerahkan 30 ekar kepada Kerajaan Pusat bagi pembinaan rumah kepada 393 orang pekerja ladang bekas pekerja ladang dari kawasan Putrajaya. ;

     

    • Ladang Duneden – Seramai 22 orang pekerja ladang telah mendapat manfaat berdasarkan perbincangan bersama majikan dan mereka bersetuju untuk membina 22 buah rumah kepada pekerja ladang serta memberikan tapak rumah ibadat. ;

     

    • Ladang Tumbok – Kerajaan Negeri telah berjaya membantu seramai 12 orang bekas pekerja ladang dalam memiliki rumah dan tapak rumah. ;

     

    • Ladang Semenyih – Kerajaan Negeri melalui perbincangan dengan majikan dan pemilik ladang berkenaan telah berjaya membantu mendapatkan rumah teres 2 tingkat dengan diskaun kepada 25 bekas pekerja ladang, tempat beribadat dan juga tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diperbesarkan. ;

     

    • Ladang Dusun Durian – Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pembatalan “Rezab Melayu” yang telah dijadikan sebagai tapak perumahan kepada bekas pekerja ladang 109 orang serta tempat beribadat.

     

    Sehubungan dengan itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan bina baru rumah serta bantuan baikpulih rumah melalui Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Program ini adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membantu beberapa bekas pekerja ladang yang mempunyai tanah di atas milik sendiri untuk membina sebuah rumah yang selesa untuk didiami selaras dengan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan. Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan nasib bekas pekerja ladang kerana golongan ini dianggap terpinggir dan tumpuan lebih harus diberikan kepada mereka dalam memastikan kebajikan mereka dijaga.

Lampiran

Tiada Lampiran.