Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

35) BANTUAN SOKONGAN KELUARGA (BSK)

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa ramai bekas isteri yang telah mendapat manfaat daripada skim Bantuan Sokongan Keluarga?

    Bagi tempoh bermula 2009 sehingga Disember 2016, seramai 903 pengadu yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan bekas isteri telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS). Jumlah ini adalah berdasarkan kepada statistik kes atau aduan yang diterima di SBSK bermula dari tahun 2009 semasa unit ini mula beroperasi hingga Disember 2016.

    Selain itu, SBSK telah meluluskan seramai 80 orang penerima pendahuluan nafkah yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM307,530.00. Sumber kewangan pembayaran pendahuluan nafkah tersebut adalah daripada dana Akaun Amanah Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman

    Syariah Selangor yang disumbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor.

     

    Pembayaran pendahuluan nafkah yang dibayar oleh SBSK ini bukanlah suatu bantuan mutlak, tetapi ia merupakan suatu pendahuluan nafkah yang akan dikutip semula oleh SBSK daripada pihak bekas suami atau bapa yang telah ingkar untuk melaksanakan perintah nafkah selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang dilakukan di Mahkamah Syariah selesai. Dengan kata lain, pembayaran nafkah oleh SBSK ini bukanlah dengan matlamat untuk mengambil alih tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing menurut undang-undang. Sebaliknya, ia bertujuan untuk membantu meringankan bebanan ibu dan anak-anak dan membantu memastikan perintah Mahkamah Syariah dikuatkuasakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.