Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

27) BANTUAN UNTUK KAWASAN SUNGAI BULOH

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan cadangan menjadikan kawasan Rubber Research Institut (RRI) Sungai Buloh sebagai hub baru pembangunan Lembah Kelang. Apakah pandangan Kerajaan Negeri berhubung dengan cadangan tersebut?

    Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan tanah milik Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh untuk cadangan pembangunan bercampur dan sebagai hab baru Lembah Klang terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMKe-10) dan merupakan salah satu projek utama yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri dalam ucapan bajet tahun 2011. Tapak Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Sungai Buloh tersebut terletak dalam mukim Sungai Buloh, Daerah Petaling merangkumi kawasan seluas kirakira 1, 350 hektar (3,334 ekar) dan terletak di dalam dua (2) kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan iaitu di dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam seluas 600 hektar (1,482 ekar) dan di dalam kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya seluas 750 hektar (1,852 ekar).

    Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan KWSP akan melaksanakan pembangunan bercampur di kawasan tersebut melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan kawasan ini di anggarkan bernilai RM10 bilion dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025. Maklumat awal yang diperolehi mengenai mekanisme pembangunan tanah ini ialah KWSP melalui anak syarikatnya iaitu Kwasa Land Sdn. Bhd. akan mendapatkan tanah ini melalui pembelian dari Kementerian Kewangan pada harga yang dipersetujui. Sebelum itu Lembaga Getah Malaysia akan menjual tanah tersebut kepada Kementerian Kewangan.

    Sehingga kini Kerajaan Negeri belum menerima sebarang cadangan terperinci komponen pembangunan kawasan RRIM milik Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh kecuali cadangan Syarikat Prasarana Negara Berhad untuk membangunkan depoh MRT (Mass Rapid Transit) Sungai Buloh di atas tapak seluas 161.713 ekar di bahagian utara tapak RRIM. Permohonan kebenaran merancang tersebut telah diluluskan dengan beberapa syarat tertentu oleh Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Majlis Bandaraya Shah Alam pada 26hb. April 2011.

    Kerajaan Negeri berpandangan cadangan pembangunan kawasan RRIM Sungai Buloh sebagai hab baru Lembah Klang akan menjadi pemangkin pembangunan di kawasan tersebut, mewujudkan banyak peluang pekerjaan, merancakkan kemajuan ekonomi negeri Selangor dan membantu kejayaan perlaksanaan projek MRT Sungai Buloh – Kajang yang akan melalui di dalam kawasan RRIM.

Lampiran

Tiada Lampiran.