Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

117) BAS SEKOLAH

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk memberikan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi golongan yang kurang berkemampuan, mempunyai anak yang ramai terutamanya penduduk luar bandar?

    Saya berterima kasih dan menyambut baik cadangan Yang Berhormat Jeram mengenai cadangan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi golongan yang kurang berkemampuan dan mempunyai tanggungan yang ramai terutamanya penduduk luar bandar. Untuk makluman Yang Berhormat Jeram, buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor tiada sebarang cadangan yang dikhususkan bagi pemberian perkhidmatan bas sekolah secara percuma kepada pelajar di luar bandar.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin akan mengekalkan Program Bantuan Sumbangan Subsidi Tambang Sekolah yang dahulunya diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang. Untuk makluman Yang Berhormat Jeram, sasaran utama program ini adalah tertumpu kepada anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor yang juga merupakan golongan luar bandar. Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah adalah merupakan satu bentuk program bantuan di mana sumbangan sebanyak RM300.00 diberikan kepada setiap anak pekerja ladang yang membuat permohonan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan sumbangan adalah diberikan secara tunai melalui satu majlis penyerahan. Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah juga adalah merupakan salah satu daripada Agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terbuka kepada mana-mana anak pekerja ladang ataupun bekas pekerja ladang yang bersekolah di Negeri Selangor sahaja. Program ini adalah bertujuan untuk meringankan bebanan penjaga yang terdiri dari kalangan pekerja ladang dalam membiayai sebahagian daripada kos tambang bas anak mereka ke sekolah.

    Selain daripada Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru juga menyediakan perkhidmatan bas secara percuma yang dikenali sebagai Bas Smart Selangor. Perkhidmatan Bas Smart Selangor ini tidak disasarkan kepada golongan tertentu bahkan ianya terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor dan ianya adalah percuma. Dalam usaha menggalakkan rakyat di negeri ini untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, Kerajaan Negeri telah memperluaskan laluan Bas Smart Selangor ke tempat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi termasuklah di luar bandar secara berperingkat.

    Sehubungan itu, saya percaya jentera kerajaan sedia ada sentiasa mencari alternatif dan pandangan baru bagi memastikan kebajikan rakyat di negeri ini khususnya yang kurang berkemampuan terbela. Kerajaan Negeri juga sentiasa menambahbaik program-program sedia ada yang melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk menarik lebih ramai orang menggunakan kemudahan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.