Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

13) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menambah perkhidmatan Bas Smart Selangor ke kawasan yang masih belum mendapat kemudahan pengangkutan awam?

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya telah banyak memberi impak positif terhadap capaian jaringan pengangkutan awam lain khususnya dalam menghubungkan jaringan pengangkutan awam darat seperti komuter, BRT, LRT dan MRT. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa masih terdapat kawasan yang belum mendapat kemudahan pengangkutan awam khususnya di dalam kawasan perkampungan yang mana mempunyai kekangan seperti faktor keadaan jalan raya serta jenis model bas yang sesuai. Selain daripada kekangan tersebut, penyediaan laluan-laluan Bas Smart Selangor di sesuatu kawasan adalah tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor iaitu:

    1. Menepati struktur Bus Network Revamp oleh SPAD iaitu tidak bertindih dengan laluan operator perkhidmatan bas sedia ada;
    2. Perlu mengutamakan laluan kawasan-kawasan tumpuan pembangunan, perumahan padat dan jalan yang tidak dilalui oleh perkhidmatan bas lain;
    3. Lokasi bagi laluan bas percuma ini adalah di kawasan tumpuan kemudahan awam seperti pusat kesihatan, pejabat kerajaan, sekolah, stesen komuter, stesen LRT dan sebagainya serta kawasan komersil dan kompleks perniagaan; dan
    4. Mempunyai connectivity dengan sistem pengangkutan yang lain seperti stesen komuter atau stesen LRT/MRT/BRT.

     

    Perancangan bagi menambahbaik perkhidmatan bas ini juga bergantung kepada kemampuan kewangan sama ada di peringkat Negeri mahupun Pihak Berkuasa Tempatan disebabkan oleh faktor kewangan yang terhad bagi kegunaan projek-projek yang lebih penting dan perlu diutamakan. Namun demikian, Kerajaan Negeri menyokong cadangan supaya penggunaan bas bersaiz mini atau van dikaji dan diperkenalkan semula bagi perkhidmatan bas  di kawasan-kawasan yang sukar untuk dilalui oleh pengangkutan awam sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.