Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

205) BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat sebarang kajian untuk mengkaji keberkesanan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat Selangor? Jika ada nyatakan.

    Perkhidmatan bas percuma iaitu Bas Smart Selangor yang bermula pada 1 Julai 2015 sehingga kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan berdasarkan peningkatan jumlah penumpang yang telah mencecah 37.2 juta (37,222,813) bagi tempoh 1 Julai 2015 hingga 30 Jun 2019. Perkhidmatan ini telah memasuki tahun ke-empat pelaksanaannya, mempunyai 41 laluan  dan 129 buah bas di sebelas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pada masa ini, hanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang telah melaksanakan kajian keberkesanan perkhidmatan bas iaitu “Kajian Kepuasan Pengguna dan Kemudahan Batuan Pertama dan Batuan Akhir Bas Smart Selangor Di Kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam”. Kajian ini dapat mengenalpasti golongan pengguna Bas Smart Selangor di kawasan Shah Alam yang terdiri daripada 50 peratus pelajar, 38 peratus pekerja swasta dan selebihnya adalah pekerja kerajaan, suri rumah, bekerja sendiri dan penganggur. Oleh yang demikian, perkhidmatan bas ini sememangnya memberi kesan penjimatan kepada pengguna-pengguna khususnya dari golongan ini yang secara tidak langsung membantu meringankan beban kewangan mereka untuk menampung keperluan perbelanjaan harian bagi tujuan pengangkutan.

     

    Selaras dengan itu juga, Kerajaan Negeri menggalakkan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan kajian tersebut bagi laluan di kawasan masing-masing mengikut kemampuan kerana kos yang diperlukan untuk menjalankan kajian seumpamanya adalah tinggi. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan juga, jumlah peningkatan penumpang dari semasa ke semasa turut memberikan gambaran yang positif di dalam usaha Kerajaan Negeri untuk  menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam seperti bas berjaya dicapai.

Lampiran

Tiada Lampiran.