Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

5) BAUCER PERAYAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah relevan bantuan baucar perayaan diberikan pada masa ini dan akan datang?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih.

     

    Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat.

     

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan adalah relevan dan wajar diteruskan memandangkan ianya telah memberi manfaat kepada rakyat miskin di negeri Selangor dalam membuat persiapan bagi menyambut perayaan. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, program ini telah berjaya membantu seramai 619,293 orang rakyat miskin di Selangor dengan peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri pula adalah sebanyak RM55,727,300.00 (Lima Puluh Lima Juta,  Tujuh Ratus Dua Puluh Tujuh Ribu, Tiga Ratus Ringgit).

     

    Walaupun pemberian bantuan RM100 dilihat kecil nilainya, namun bagi rakyat miskin yang berpendapatan rendah dan benar-benar memerlukan, ianya amat bermakna dalam meringankan bebanan mereka semasa membuat persiapan menyambut perayaan. Oleh itu, program ini masih relevan untuk diteruskan memandangkan ia merupakan salah satu inisiatif yang dapat membantu meringankan beban rakyat miskin di dalam kelompok B40 di kawasan bandar mahupun di luar bandar secara keseluruhannya.

     

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

     

    Pada tahun 2012, bantuan berbentuk hamper telah diperkenalkan khusus untuk membantu mengurangkan beban golongan miskin dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Namun begitu, kaedah pengagihan hamper telah menimbulkan banyak permasalahan. Antaranya adalah permasalahan dari segi penghantaran, ruang penyimpanan Pusat Khidmat DUN yang terhad, prosedur pendaftaran yang tidak teratur dan tiada kriteria khusus yang ditetapkan.

    Oleh yang demikian, pada tahun 2013 Kerajaan Negeri telah membuat penyamarataan dengan mewujudkan bantuan perayaan khusus kepada masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Dalam memastikan ketelusan dalam menyalurkan bantuan, Kerajaan Negeri telah menetapkan prosedur baharu di mana penerima bantuan perlu mendaftarkan diri di Pusat Khidmat DUN dan penerima yang layak akan membuat pembelian barangan keperluan harian di dalam bentuk baucar di pasar raya yang terpilih.

    Oleh kerana kekangan kewangan yang agak terhad, peruntukan yang sedia ada perlulah dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi Program Jom Shopping, setiap DUN akan menerima sejumlah baucar di antara 300 unit hingga 800 unit mengikut kepada kepadatan pengundi di sesuatu DUN berkenaan. Oleh demikian, secara kasarnya setiap DUN akan menerima sekurang-kurangnya 1000 unit baucar setiap tahun bagi ketiga-tiga perayaan.

    Oleh yang demikian, persoalan yang dibangkitkan berhubung  apakah relevan bantuan baucar  perayaan ini diteruskan, sukacita dimaklumkan bahawa sebenarnya program ini merupakan satu peluang yang baik kepada ADUN untuk mendekati, menzahirkan keikhlasan serta mengeratkan hubungan muhibah dengan rakyat miskin yang berbilang kaum. Program Jom Shopping Perayaan juga adalah merupakan satu program menyantuni rakyat yang dilihat berkesan serta memberikan impak bukan sahaja kepada penerima bantuan malahan kepada ADUN itu sendiri.

Lampiran

Tiada Lampiran.