Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

89) BAZAAR DARUL EHSAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Hasnul Bin Baharuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bazar Darul Ehsan di jalan Kanchong Darat telah lama terbiar dan banyak kerosakan di dalam dan di luar bangunan. Apakah tindakan atau perancangan EXCO usahawan berkaitan bangunan tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, pembinaan Bazar Darul Ehsan ini telah mengalami beberapa masalah sewaktu pembinaannya yang bermula pada 29 September 2011 dimana terdapat sebanyak dua (2) kali pertukaran kontraktor dalam proses pembinaannya. Setelah melalui beberapa proses yang telah dikendalikan oleh Pejabat Daerah Kuala Langat dan UPEN, Bazar Darul Ehsan ini siap dibina pada 18 Disember 2012.

    Setelah bazar ini siap dibina, ianya telah dinaiktaraf kerana terdapat penambahan dari segi kemudahan perkakasan. Namun, setelah siap dibina dan dinaikktaraf, Bazar Darul Ehsan ini tidak langsung beroperasi.

    Setelah melalui beberapa perbincangan, Bazar Darul Ehsan ini telah diletakkan di bawah seliaan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita pada April 2016 untuk penggunaan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Shoppe. Namun ianya tidak juga berjalan seperti yang dirancang dan bazar ini telah diserahkan kepada Hijrah Selangor pada November 2017 bagi menguruskan premis ini. Setelah penyerahan kepada Hijrah Selangor selesai, pihak Hijrah Selangor telah membuat penilaian dan memohon untuk dinaiktaraf sekali lagi Bazar Darul Ehsan ini dengan anggaran kos adalah sebanyak RM500,000.00. Ianya perlu kerana premis ini tidak pernah digunakan sejak selesai pembinaannya pada tahun 2012.

    Berdasarkan permohonan daripada Hijrah tersebut, satu mesyuarat telah dipengerusikan oleh YB Hajah Rodziah Ismail iaitu selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah dijalankan pada 3 Oktober 2018 yang membincangkan hala tuju Bazar Darul Ehsan tersebut yang melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan juga Pejabat Darah Kuala Langat.  Penilaian telah dibuat oleh JKR Selangor yang mana premis tersebut perlu dipulihkan semula dan perlu diuruskan dengan baik agar tidak terbiar begitu sahaja.

    Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan akan mengaturkan satu mesyuarat khas untuk membincangkan alternatif dan solusi terbaik bagi membangunkan semula Bazar Darul Ehsan agar dapat  merancakkan lagi pembangunan ekonomi di dalam Daerah Kuala Langat. Mesyuarat tersebut akan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kuala Langat, bersama Jabatan lain yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.