Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

283) BEG SEKOLAH ‘BACK TO SCHOOL’

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah harga kos beg sekolah untuk program ÔBack To SchoolÕ 2015 dan siapakah yang memantau kualiti beg tersebut?

    Program Back to School merupakan program bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah daripada golongan berpendapatan rendah di negeri Selangor yang dilaksanakan secara tahunan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan sejak tahun 2008. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

    Mekanisme atau kaedah pemberian bantuan persekolahan pada setiap tahun adalah berbeza. Pada tahun 2013, bantuan yang diberikan adalah berbentuk baucer BATA yang bernilai RM30.00. Namun begitu, berdasarkan rekod, jumlah baucer yang ditebus bagi Program Back to School yang telah dijalankan pada tahun 2013 adalah 20,919 iaitu sebanyak 62.26% daripada jumlah keseluruhan baucer 33,600. Ini menunjukkan bahawa sebanyak 12,681 (37.74%) penerima bantuan tidak menebus baucer yang telah diberikan.

    Di antara maklum balas yang diterima daripada penerima bantuan ini adalah proses pemberian bantuan secara baucer menyukarkan mereka mendapatkan barang keperluan sekolah secara terus. Sebagai contoh, setelah menerima baucer, penerima bantuan perlu menebus baucer tersebut di mana-mana pasaraya yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri. Ini akan melibatkan kos pengangkutan kepada penerima bantuan yang mana adakalanya kos tersebut melebihi nilai baucer. Oleh yang demikian, didapati ramai penerima bantuan yang tidak menebus baucer tersebut.

    Berikut merupakan jenis bantuan yang diberikan bagi Program Back to School bagi tahun 2008 sehingga 2013:-

    BIL. TAHUN JENIS PEMBELIAN
    1. 2008 Baucer BATA
    2. 2009 Beg sekolah
    3. 2010 Buku latihan
    4. 2011 Beg sekolah
    5. 2012 Beg sekolah
    6. 2013 Baucer BATA

    Justeru itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah mencadangkan supaya Program Back to School 2014 dilaksanakan dengan menyerahkan bantuan kelengkapan sekolah berbentuk beg sekolah terus kepada penerima bantuan dan bukannya secara baucer seperti yang telah dilaksanakan pada tahun 2013.

    Pembekalan beg sekolah untuk Program Back to School Tahun 2014 telah diluluskan Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 47/2014 yang bermesyuarat pada 10 Disember 2014 serta melantik terus Jendela Simfoni Sdn. Bhd. dengan kos berjumlah RM806,400.00 (dengan kos seunit beg sekolah bernilai RM24.00 dan harga adalah termasuk kos penghantaran beg sekolah) menggunakan peruntukan P01-02002 Program Pembasmian Kemiskinan.

    Bagi pelaksanaan program, setiap Pejabat DUN akan mengenalpasti penerima-penerima bantuan yang layak mengikut jumlah yang telah ditetapkan bagi setiap DUN dan kriteria pemilihan penerima bantuan yang ditetapkan. Setelah itu, Pejabat DUN perlu mendaftarkan maklumat bagi penerima bantuan yang layak ke dalam sistem Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Setiap Pejabat DUN akan melaksanakan program penyerahan/ pengagihan beg-beg sekolah kepada seramai 600 orang penerima bantuan yang layak. Pihak urus setia, iaitu Seksyen Sektoral, UPEN juga menjalankan pemantauan pada setiap program yang diadakan oleh Pejabat DUN.

    Jawatankuasa Tetap Kemiskinan akan sentiasa menambahbaik pelaksanaan program-program Pembasmian Kemiskinan dari semasa ke semasa dalam usaha membasmi kemiskinan sehingga ke akar umbi serta memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.