Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

15) BEKALAN AIR – SYABAS

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kedudukan atau status terkini berkenaan pembelian semula syarikat SYABAS oleh Kerajaan Negeri?

    Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor
    telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi. Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri
    Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang
    Konsesi. Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran
    tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup
    untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.
    Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut,
    penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan
    buntu. Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan
    semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Rundingan semula ini telah
    bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri
    air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau
    dan Air (KTTHA). Mesyuarat Jawatan Kuasa penstrukturan tersebut dipengerusikan
    oleh Ketua Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu
    Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan
    Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan
    Air Negara (SPAN). Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B.
    Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undangundang, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Penasihat
    Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada YAB Dato
    Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB Dato Menteri Besar dan Kumpulan Darul
    Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatan Kuasa Penstrukturan
    peringkat Kerajaan Persekutuan.
    Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air Negeri
    Selangor adalah seperti berikut:-
    1) Mengkaji dan menilai cadangan konsep model penstrukturan dan opsyen yang
    sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan
    Air (Akta 655).
    2) Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan
    dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen
    yang telah dipersetujui.
    3) Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
    i) KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
    ii) Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan
    Negeri
    4) Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri
    perkhidmatan air Negeri Selangor.
    Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan
    model penstrukturan semula Negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.
    Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah pengambil
    alihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator
    yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single
    Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari
    rawatan hingga pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.
    PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan
    Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk
    agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator
    rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.
    Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di
    dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi. Lanjutan dari persetujuan ke
    atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah
    mengujudkan Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di
    peringkat Negeri Selangor. Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B.
    Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA
    adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran
    kepada Pemegang Konsesi. Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh
    Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil
    dari Syarikat Konsesi Air. Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk
    membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi
    kewangan yang berkaitan dengan harga yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya
    melaporkan kepada Jawatan Kuasa Induk Rundingan. Rundingan dengan Pemegang
    Konsesi telah dimulakan oleh Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan
    Kuasa Kerja bermula semenjak 10 Jun 2009.
    Dalam rundingan bersama Syarikat Konsesi, Kerajaan Negeri telah
    memaklumkan bahawa pengambilalihan aset-aset air oleh Kerajaan Negeri
    Selangor adalah tertakluk kepada syarat-syarat:
    1) Penjualan aset-aset air tersebut kepada PAAB secara serentak(back to
    back) oleh Kerajaan Negeri Selangor; dan
    2) Pemberian lesen di bawah Akta Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) oleh
    Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Kerajaan Negeri
    Selangor melalui syarikat nomini untuk pengagihan dan rawatan air di Negeri
    Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
    Pada 25 Jun 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan surat
    tawaran untuk pengambilalihan syarikat konsesi air kepada keempat-empat
    operator air di Negeri Selangor. ABASS bersetuju menerima tawaran Kerajaan
    Negeri Selangor, SPLASH setuju dengan syarat Kerajaan Negeri Selangor perlu
    memberi komitmen kepada kontrak jangka panjang O & M sedia ada, manakala
    SYABAS tidak dapat menerima tawaran kerana apa jua keputusan SYABAS
    adalah tertakluk kepada keputusan bertulis dari Kementerian Kewangan yang
    merupakan Pemegang Saham Emas dalam SYABAS dan Puncak tidak bersetuju
    dengan kaedah penilaian aset yang diguna pakai dalam menentukan nilai
    tawaran tersebut.
    Selain dari tawaran kepada Syarikat Konsesi Air, Kerajaan Negeri Selangor
    telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat juruaudit bebas
    bagi tujuan melantik syarikat tersebut untuk melaksanakan proses ketekunan
    wajar (due diligence) dalam langkah untuk mengambil alih syarikat –syarikat
    konsesi air tersebut. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor telah
    berbincang dengan panel peguam bagi tujuan untuk penyediaan dokumen
    perjanjian yang terlibat dalam pengambilalihan syarikat konsesi tersebut.
    Namun demikian, kerana SYABAS dan Puncak tidak bersetuju menerima
    tawaran Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan melalui KTTHA
    berpandangan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat memuktamadkan
    penstrukturan semula industri perkhidmatan air mengikut Model Negeri
    Selangor. Lanjutan dari itu, KTTHA telah memaklumkan bahawa Jemaah
    Menteri telah bersetuju supaya Model yang pernah dikemukakan oleh PAAB
    dahulu digunakan sebagai Model alternatif dalam melaksanakan penstrukturan
    semula ini. Model alternatif ini masih lagi di peringkat rundingan Jawatan Kuasa
    Penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air yang diketuai oleh KTTHA di
    mana Kerajaan Negeri Selangor adalah merupakan ahli di dalamnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.