Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

41) BEKAS PEKERJA LADANG DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah isu perumahan merupakan isu utama bekas pekerja ladang di Selangor? Jika ya, nyatakan butir-butirnya

    Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Kubu Baharu di atas keprihatinan dalam bertanyakan soalan melibatkan kebajikan bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Kubu Baharu, pemilikan rumah sendiri menjadi satu keperluan dan aset terpenting bagi setiap keluarga. Justeru itu, tidak dinafikan isu perumahan adalah merupakan salah satu isu utama yang dihadapi oleh bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor yang sering dibangkitkan. Pekerja ladang dan bekas pekerja ladang boleh dikategorikan sebagai antara golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini yang telah bersara daripada kerja – kerja sektor perladangan tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri. Semasa khidmat mereka sebagai pekerja ladang, kebiasaannya majikan telah menyediakan kemudahan asas termasuklah kuarters perumahan di kawasan ladang selagi mana mereka masih berkhidmat di ladang tersebut dan kemudahan tersebut perlu dipulangkan semula selepas mereka telah bersara.

    Salah satu punca bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini tidak memiliki rumah adalah disebabkan kurangnya pendedahan dan kesedaran tentang pentingnya memiliki rumah sendiri disamping kos pemilikan sebuah rumah sendiri adalah diluar kemampuan mereka kerana pendapatan mereka yang rendah. Kebanyakan daripada mereka hanya meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang lebih selesa mendiami rumah kuarters yang telah disediakan oleh majikan pada ketika itu.

    Oleh yang demikian, sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menyewa rumah dengan kadar yang mahal bagi menempatkan keluarga mereka. Terdapat segelintir daripada bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menjadi peneroka tanah kerajaan tanpa kebenaran untuk dijadikan sebagai tapak perumahan dan penempatan bagi meneruskan kehidupan mereka.

    Turut terkesan daripada perkembangan ekonomi dan pembangunan yang begitu pesat, kawasan – kawasan ladang turut menjadi tumpuan bagi membangunan kawasan berkenaan dengan pembangunan yang lebih moden dan tersusun. Secara tidak langsung, pekerja ladang dan bekas pekerja ladang terpaksa berpindah keluar daripada kawasan berkenaan bagi memberi ruang kepada pembangunan baru tersebut.

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board (ELB) sentiasa berusaha dan berbincang bagi mendapatkan bantuan – bantuan seumpamanya untuk mengatasi masalah melibatkan pemilikan rumah kepada bekas – bekas pekerja ladang di kawasan ladang yang akan dibangunkan. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak dapat mengarahkan dan membantu secara mutlak berhubung semua isu pemilikan perumahan oleh pekerja ladang dan bekas – bekas pekerja ladang memandangkan terdapat perjanjian yang dipersetujui diantara majikan, pekerja ladang dan pemaju yang berkenaan adalah merupakan diluar kawalan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board senantiasa memohon bantuan perumahan pekerja ladang diwajibkan kepada setiap majikan dan pemaju bagi membela nasib bekas pekerja ladang yang terlibat.

    Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) diwujudkan khusus untuk membantu rakyat dengan tidak mengira kaum untuk mendapatkan sebuah aset kediaman dengan harga yang mampu milik. Permohonan bagi mendapatkan Rumah Selangorku adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor berdasarkan kelayakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.