Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

179) BELANJAWAN SELANGOR 2020

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah prestasi penggunaan Belanjawan Selangor 2020 setakat ini? Huraikan dengan terperinci.

    Persidangan Dewan Negeri Selangor yang diadakan pada 1 November hingga 15 November 2019 telah meluluskan Anggaran Belanjawan Negeri Selangor tahun 2020 berjumlah RM2.33 bilion dengan pecahan RM1.2 bilion atau 51.44 (%) peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion iaitu 48.56 (%) peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

    Sehingga 16 Oktober 2020, sebanyak RM1.45 bilion atau 47.94% telah dibelanjakan dengan pecahan RM877.84 juta atau 73.15% bagi perbelanjaan mengurus dan RM574.04 juta atau 50.67% bagi perbelanjaan pembangunan.

    Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik COVID-19, pelaksanaan projek-projek fizikal seperti menaiktaraf infrastruktur terjejas dan memberi kesan kepada prestasi perbelanjaan Kerajaan Negeri.

    Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab dan membela nasib rakyat, penularan wabak COVID-19 memerlukan respon segera daripada Kerajaan Negeri. Oleh itu, pada 20 Mac 2020 Kerajaan Negeri telah memulakan langkah dengan mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 dengan jumlah RM127.78 juta. Lanjutan daripada pelaksanaan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih diteruskan, maka sekali lagi Kerajaan Negeri mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2 pada 1 April 2020 dengan jumlah RM272.5 juta. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk mendepani dan menampan kesan langsung COVID-19 ke atas golongan sasar.

    Daripada jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 dan 2 sebanyak RM400.28 juta, sejumlah RM179.51 juta dibiayai oleh Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan sedia ada berikutan penjimatan daripada program-program pembangunan yang telah dirancang tetapi tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.